Kekurangan Guru Dalam Masa 5 Tahun

KUALA LUMPUR – Negara dijangka mengalami masalah kekurangan guru mencecah lebih 17,000 orang dalam masa lima tahun akan datang.

Masalah itu dikatakan berpunca daripada langkah penjimatan kerajaan sebelum ini dengan mengurangkan pengambilan guru pelatih ke institut pendidikan guru (IPG) sehingga membawa kepada cadangan penutupan beberapa IPG pada 2016.

Presiden Gabungan Intelektual Pendidik Guru SeMalaysia (GENIUS), Dr. Mohd Aziz Mohd Din, berkata unjuran pengambilan guru di IPG berjumlah 6,000 orang setiap tahun tidak dipatuhi sejak beberapa tahun lalu.

“Kekurangan guru ini bukan disebabkan salah pengiraan oleh pihak EPRD (Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pendidikan) atau ketidakmampuan IPG melaksanakan latihan tetapi hasil langkah penjimatan kerajaan pada waktu itu.

“Keluaran guru IPG pada 2019 daripada ambilan 2014 yang sepatutnya 6,000 orang dikurangkan kepada 1,676 orang. Begitu juga pada pengambilan 2015 (3,200 orang), 2016 (1,600 orang), 2017 (3,200) dan 2018 (3,200 orang).

“Bermula 2019, pengambilan guru pelatih kembali sebagaimana unjuran 6,000 orang. Ini menjadikan kekurangan guru dalam tempoh lima tahun (2019 hingga 2023) dianggarkan 17,124 orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, semalam bahawa kementerian itu pada masa ini berdepan kemelut kekurangan warga pendidik bagi memenuhi permintaan guru sekolah di seluruh negara.

Katanya, berkata ia berpunca daripada ketidakpadanan antara kekosongan sedia ada di sekolah dan keluaran dari IPG setiap tahun dan jika tidak ditangani secara tuntas, berupaya merencatkan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah, sekali gus mengundang risiko pelajar tercicir daripada aliran pendidikan nasional.

Mohd Aziz berkata, bilangan berkenaan tidak termasuk lagi pertambahan guru yang diperlukan disebabkan pertambahan murid, bilik darjah dan sekolah.

“Keadaan ini membuktikan bahawa masalah kewangan kementerian atau negara tidak sepatutnya dijadikan alasan bagi mengurangkan peruntukan berkaitan latihan guru dan pendidikan secara umumnya kerana ia akan mendatangkan kesan negatif yang berganda ke atas pembinaan murid di bilik darjah.

“Kesan daripada penjimatan itu juga, kementerian hari ini terpaksa pula mengeluarkan belanja RM48 juta untuk mengambil guru interim bagi mengatasi masalah kekurangan guru pada 2020 dan peruntukan ini dijangka bertambah bagi tahun yang berikutnya,” katanya.

Berhubung cadangan penutupan IPG, Mohd Azis berkata, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sudah beberapa kali menegaskan bahawa IPG tidak akan ditutup sebagaimana keputusan dahulu.

Loading...