Kekalkan Usaha Bersama Perangi COVID-19

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengajak semua petugas barisan hadapan dan di sebalik tabir untuk bersama-sama mengekalkan usaha bersungguh-sungguh dalam memerangi penularan COVID-19 di negara ini, khususnya di Sabah.

Katanya petugas barisan hadapan perlu mencegah penularan secara proaktif dan dahuluan (pre-emptive) selain mengambil tindakan kesihatan awam di lapangan serta merawat pesakit di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Beliau turut menasihati petugas barisan hadapan agar tabah dan bersabar dengan tugas yang diamanahkan kerana negara kini bergantung kepada mereka.

“Sebelum kita berjuang setiap hari pasangkan niat kita, nawaitu kita berkhidmat demi Allah SWT dan Insya-Allah akan dipermudahkan dan dilindungi, Insya-Allah.

“Kita adalah barisan harapan negara. Sesungguhnya sesudah kesulitan ini ada kemudahan Insya-Allah,” katanya menerusi Facebook rasmi beliau hari ini.

Dalam kiriman itu, Dr Noor Hisham turut memuat naik sepotong ayat suci al-Quran daripada surah Al-Insyirah yang bermaksud ‘Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan’. – BERNAMA

Loading...