Kekalkan Kebebasan Beragama, Islam Agama Persekutuan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti serbuan terhadap pengikut syiah di Johor dan Selangor baru-baru ini dalam rangka yang lebih besar mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, kerajaan akan mengekalkan segala yang termaktub dalam peruntukan undang-undang negara itu iaitu kebebasan beragama dan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kita tengok dalam rangka yang lebih besar iaitu dalam rangka supaya kita mengekalkan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan iaitu kebebasan dan juga pada masa yang sama Islam adalah agama Persekutuan.

“Jadi seimbangkan antara dua perkara itu, kita sedang melihat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut mempertahankan serbuan yang dilakukan pihak berkuasa agama negeri, baru-baru ini.

Jelasnya, serbuan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh jabatan agama negeri masing-masing selari dengan bidang kuasa mereka.

“Isu ini terletak kepada kuasa negeri dan kita sudah pun mendapat maklum balas daripada menteri besar dalam mesyuarat Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kelmarin.

“Ada pun apa yang dilakukan di Selangor itu adalah keputusan Selangor mengikut SOP, maka kita hormati tindakan itu,” katanya. 

Seramai 54 pengikut fahaman Syiah diserbu Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) menerusi Operasi Hauzah yang dijalankan di sebuah rumah agam di Kempas, Johor pada 9 September lalu.

Pada 7 September lalu pula, seramai 22 pengikut ajaran itu termasuk seorang individu yang dipercayai pemimpin utama gerakan Syiah di negara ini ditahan di Gombak.

Loading...