Kekal Saiz Perkhidmatan Penjawat Awam – Cuepacs

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengharapkan saiz perkhidmatan penjawat awam sedia ada di negara ini dikekalkan.

Pengerusinya, Datuk Azih Muda berkata, ia bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang lebih cekap.

“Kita berharap supaya tidak ada pengecilan saiz perkhidmatan kerana yang sedia ada ini mencukupi walaupun kerajaan merasakan beban dari segi pembayaran gaji.

“Tapi kita perlu melihat juga kepada keperluan rakyat pada masa ini tentu sekali rakyat mahukan perkhidmatan yang lebih cekap,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad membuat kenyataan bahawa kerajaan akan memastikan penjawat awam disediakan peluang pekerjaan di sektor ekonomi lain sebelum pengecilan saiz perkhidmatan dilakukan.

Menurutnya, pengecilan saiz perkhidmatan awam juga tidak bermaksud berlakunya pengurangan peluang pekerjaan terutama apabila penswastaan dilaksanakan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang bertanyakan apakah rasional cadangan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini di Parlimen, semalam.

Sementara itu, Azih berkata, tekanan penjawat awam kini sudah cukup tinggi kerana mengalami saiz perkhidmatan yang tidak mencukupi.

“Kita tahu terdapat agensi-agensi front-liner hari ini yang berurusan dengan orang ramai berhadapan masalah saiz perkhidmatan yang tidak mencukupi sekali gus perkhidmatan yang disediakan menjadi lambat.

“Di sebabkan itu ada juga di kalangan pekerja ini terpaksa membawa pulang tugasan ke rumah sedangkan ia perlu diselesaikan di pejabat dan akhirnya ia mendatangkan tekanan,” katanya. – Sinar Harian

Loading...