Kekal Lebih 400,000 Suntikan Vaksin 3 Hari Berturut-Turut

KUALA LUMPUR – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencatat kadar pemberian vaksin tertinggi untuk tiga hari berturut-turut apabila merekodkan 434,828 dos semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia melonjakkan jumlah keseluruhan vaksin yang diberikan kepada 12,647,558 dos sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu hingga semalam.

Katanya, jumlah itu menyaksikan lebih empat juta individu atau 12.3 peratus daripada keseluruhan lebih 32 juta rakyat Malaysia sudah mendapat dua dos vaksin COVID-19.

“Jumlah pemberian vaksin COVID-19 setakat 14 Julai ialah 12,647,558 dos, dengan 434,828 dos diberikan semalam, iaitu yang tertinggi setakat ini.

“Jumlah individu yang sudah menerima dos pertama ialah 8,644,292 orang yang merangkumi 26.5 peratus daripada populasi negara.

“Selain itu, seramai 4,003,266 individu atau 12.3 peratus daripada keseluruhan populasi negara telah menerima dua dos vaksin COVID-19,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Kadar pemberian vaksin harian Malaysia pertama kali melepasi kadar 400,000 dos sehari pada Isnin lalu dengan 421,479 dos, sebelum meningkat kepada 424,541 dos pada Selasa.

Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dikongsi Dr Adham, penduduk Sarawak mendapat dos pertama tertinggi dengan 1.46 juta individu atau 51.8 peratus populasi negeri itu.

Ia disusuli Labuan (40,233/40.4 peratus), Lembah Klang (3.34 juta/39.6 peratus), Perlis (83,000/32.6 peratus), Negeri Sembilan (359,662/31.9 peratus) dan Pulau Pinang (436,417/24.6 peratus).

Labuan mendahului pemberian dos kedua apabila 35,586 atau 35.7 peratus populasi wilayah itu sudah mendapat suntikan lengkap vaksin COVID-19, selaras usaha kerajaan memberi keutamaan kepada Labuan yang diancam varian Delta.

Ia disusuli Sarawak (714,451/25.4 peratus), Perlis (60,077/23.6 peratus), Negeri Sembilan (148,823/13.2 peratus), Lembah Klang (1.03 juta/12.3 peratus) dan Perak (287,788/11.5 peratus). – BH Online