“Kekal Fokus Dan Tenang!”

KUALA LUMPUR – “Kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, perjalanan anak-anak sudah hampir sampai ke penghujungnya. Kekal fokus dan tenang!”

Demikian kata-kata semangat dilontarkan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, kepada calon SPM 2020 yang menduduki mata pelajaran teras terakhir, iaitu Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, hari ini.

“Selepas ini, calon akan menduduki kertas elektif mengikut pakej subjek masing-masing.

“Bergantung pada jumlah mata pelajaran diambil, ada calon akan selesai menduduki SPM pada minggu hadapan,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, hari ini.

Radzi turut memaklumkan bahawa beliau bersama Pengarah Lembaga Peperiksaan, Datuk Pkharuddin Ghazali, meluangkan masa melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong (1), dekat sini, pagi tadi.

Lawatan itu bertujuan meninjau persediaan sebelum calon menduduki peperiksaan dan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Tinjauan ke pusat peperiksaan yang kami lakukan di beberapa sekolah sebelum ini menunjukkan kepatuhan tinggi terhadap SOP ditetapkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 401,105 calon yang menduduki SPM 2020 mencipta sejarah tersendiri apabila peperiksaan itu bermula di seluruh negara, 22 Februari lalu.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima berkenaan mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang, iaitu hampir 14 bulan, namun pembelajaran bersemuka paling singkat membabitkan hanya kira-kira empat bulan akibat pandemik COVID-19 yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian.

Calon SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menduduki peperiksaan berkenaan di 3,310 pusat peperiksaan dalam persekitaran normal baharu dengan SOP ketat. – BH Online