Kehidupan Di Penjara Satu Rahmat – Farid Kamil

PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari mengakui kehidupannya di penjara selama 35 hari akibat kesalahan penyalahgunaan dadah adalah satu rahmat Allah yang memberikannya satu jalan kebenaran.

Farid Kamil, 38, yang kelihatan ceria dan tersenyum selepas prosiding tadi berkata, pengalamannya di Penjara Kajang sukar digambarkan dengan perasaan.

“Alhamdulillah..semuanya berjalan dengan lancar dan apa yang ditentukan Allah pastinya akan berlangsung.

“Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih dengan doa daripada orang ramai untuk diri saya,” katanya.

Pelakon terkenal itu juga menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat berjumpa dua cahaya matanya untuk bersama-sama meraikan hari raya.

“Anak-anak saya comel seperti biasa,” ujarnya.

Farid Kamil menambah, beliau akan memulakan penggambaran filem Rempit 2 yang dijangka dalam waktu terdekat.

Suami kepada Diana Danielle itu dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan pada 15 Mei lalu akibat kesalahan penyalahgunaan dadah namun Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan tersebut Rabu lalu. – K! ONLINE