Kedutaan Ireland Bantu Urusan Tuntutan Mayat Nora Anne

SEREMBAN – Kedutaan Ireland di Kuala Lumpur akan membantu urusan tuntutan mayat remaja warga negaranya, Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemui mati Selasa lalu selepas gadis itu dilaporkan hilang dari sebuah resort desa di Pantai dekat sini pada 4 Ogos lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kedutaan Ireland memaklumkan kesediaan mereka membantu keluarga remaja tersebut termasuk berhubung proses dokumentasi bagi membawa pulang mayat gadis itu ke negara pilihan mereka.

“Pihak kedutaan memaklumkan apa-apa dokumentasi akan dimudahkan untuk membawa balik mayat keluar dari Malaysia,” katanya pada satu sidang akhbar di Balai Polis Pantai dekat sini hari ini.

Terdahulu, beliau diihat tiba di balai polis berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum diberi taklimat mengenai perkembangan kes kehilangan Nora Anne oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Mayat Nora Anne ditemui kira-kira pukul 1.57 petang oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Gadis yang mengalami masalah pembelajaran itu dilaporkan hilang dari resort The Dusun Pantai Hill di sini pada 4 Ogos lalu semasa sedang bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya.

Semasa kejadian, mangsa tidur dalam bilik bersama Innes Julia, 12, dan Maurice Arthure, 8, sebelum adiknya mendapati gadis tersebut sudah tiada kira-kira pukul 8 pagi.

Mangsa bersama ahli keluarganya tiba di resort berkenaan pada pukul 7 pagi, 3 Ogos lalu.

Wan Azizah sempat menemui keluarga Nora Anne yang masih berada di resort The Dusun, namun enggan mendedahkan hasil pertemuan tersebut kepada petugas media.

Loading...