Kedutaan Buat Pengecaman Mayat Pendaki

KUALA LUMPUR – Wakil kedutaan Malaysia hari ini dijangka membuat proses pengecaman terhadap mayat pendaki didakwa rakyat Malaysia yang ditemukan di Gunung Damavand, utara Iran, Jumaat lepas.

Jurucakap Kelab Jelajah Alpine (KJA) Mohd Khafiz Bachok berkata ini bagi mengesahkan sama ada mayat yang dijumpai itu ialah Ramli Abdul Majid, pendaki yang hilang sejak setahun lepas di gunung berkenaan.

“Setakat ini, tiada pengesahan rasmi jasad yang dijumpai itu ialah Ramli. Pengecaman akan dilakukan hari ini oleh pihak kedutaan.

‘’Kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas pengesahan dibuat dan ia dijangka lewat petang ini,” katanya dalam kenyataan di sini mengenai Ramli yang berusia 44 tahun ketika dilaporkan hilang.

Agensi berita Iran, Islamic Republic News Agency (IRNA) melaporkan sekumpulan pendaki menjumpai satu mayat dipercayai rakyat Malaysia ketika mereka menuruni gunung itu pada ketinggian 4,300 meter pada Jumaat lepas.

Laporan itu turut menyebut penemuan mayat berkenaan dimaklumkan kepada Jabatan Bulan Sabit Merah di bandar raya Amol dekat Wilayah Utara Mazandaran yang menghantar pasukan mencari.

Pada November tahun lepas, Ramli yang merupakan ketua jurutera sistem di Ibu Pejabat Proton Holdings, Shah Alam, Selangor bersama seorang lagi pendaki KJA, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dilaporkan hilang selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain.

Pada 28 November 2016, Syed Redzuan ditemukan meninggal dunia di kawasan Yakhar Glacier dan jenazahnya dibawa pulang ke Malaysia.

Dengan ketinggian lebih 5,600 meter, Gunung Damavand merupakan gunung tertinggi di Iran. – BERNAMA

Loading...