Kedah Mahu Tarik Lebih Banyak Pelaburan Industri Aeroangkasa

BUKIT KAYU HITAM – Kerajaan Kedah merancang untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam industri aeroangkasa ke negeri ini khususnya di Bukit Kayu Hitam yang terletak bersebelahan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) yang aeroangkasa adalah satu daripada komponennya.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, ini berikutan potensi dan perkembangan rancak industri itu di negara ini yang antaranya membabitkan aktiviti penyelenggarasn, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) yang dilihat mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.

“Salah satu komponen dalam KSTP adalah aeroangkasa, jadi dengan adanya Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd (ACM) yang sudah berada di sini selama 20 tahun, kita berharap akan dapat menarik minat lebih banyak lagi syarikat komponen pesawat untuk melabur dan menempatkan kilang pemprosesan mereka di sini (Bukit Kayu Hitam).

“Saya difahamkan sekarang ini bahan komposit sumbang RM6.6 bilion pada tahun lepas… malah atasi MRO yang sumbang RM6.23 bilion… jadi nampaknya semakin rancak perkembangan dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ACM dengan empat institusi penyelidikan di premis ACM di sini, hari in. Turut hadir Pengarah Urusan ACM, Jose Garza.

Empat institusi pendidikan yang menandantangani MoU itu ialah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Institut Kemahiran Belia Negara Jitra, Insitut Latihan Perindustrian Jitra dan Universiti Malaysia Perlis.

Melalui MOU itu, ACM akan bekerjasama dengan institusi berkenaan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, khidmat nasihat, latihan dan pembangunan kemahiran untuk pelajar serta pensyarah selain pertukaran pengetahuan dan kemahiran melalui program Sistem Latihan Dual Nasional

ACM ialah usaha sama antara syarikat Amerika Syarikat (AS), Boeing dan Hexcel, yang juga peneraju dalam membekalkan produk komposit dan prapemasangan untuk industri aeroangkasa global.

Selain itu, Mukhriz berkata sekiranya impian Kedah untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tercapai, ia diyakini mampu melonjakkan lagi permintaan teknologi pembuatan komponen pesawat di negara ini selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Beliau berkata kerajaan negeri bersedia memberikan bantuan latihan dalam menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk syarikat-syarikat yang berminat melabur dalam industri itu di negeri ini. – BERNAMA