Kecewa Tiada Peruntukan Sukma 2020 – Exco Johor

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor sedikit kecewa apabila Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan hari ini tidak menyatakan peruntukan untuk penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang akan dianjurkan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pengelolaan bagi penganjuran sukan itu memerlukan peruntukan kira-kira RM90 juta.

Bagaimanapun, beliau akan membincangkan perkara itu bersama kerajaan negeri untuk mendapatkan belanjawan bagi penganjuran sukan tersebut.

“Kita kena lihat prasarana yang ada di Johor banyak perlu penambahbaikan. Sebagai contoh, gelanggang bola keranjang dan lapang sasar dibina pada tahun 1992 semasa Johor sebagai tuan rumah yang memerlukan belanja kira-kira RM5 juta.

“Selain itu, penambahan fasiliti sukan yang baharu seperti gelanggang petanque yang kita akan bina di kawasan bandaraya Iskandar Puteri sebagai gelanggang utama untuk Sukma,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2019 bersama pengamal media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan Belanjawan 2019 yang banyak memfokuskan kepada golongan belia seperti mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.

“Kita lihat kerajaan persekutuan akan menyediakan dua program menerusi dana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) iaitu Apprenticeship dan Graduate Enhancement Programme For Employability (GENERATE) yang buka 4,000 peluang pekerjaan.

“Selain penetapan gaji minimum RM1,100 juga, kita nampak ia akan tarik orang muda untuk ke industri yang sekarang ini banyak dimonopoli pekerja asing. Jadi saya mahu pastikan dalam tempoh dua tahun kita dapat bawa kembali mereka (anak muda) dalam industri,” kata Mohd Khuzzan.

Beliau berkata pihaknya juga bersama Jabatan Pembangunan Belia akan menganjurkan program-program untuk golongan itu dalam usaha memberikan galakan dan motivasi untuk mereka ceburi dalam bidang industri. – BERNAMA

Loading...