Kebun Bandar Hijrah Warrior

KUALA LUMPUR – Pernah hilang arah untuk meneruskan kehidupan, Mus (bukan nama sebenar) yang pernah hidup bergelandangan ketika datang ke ibu kota untuk mencari pekerjaan, kini mendapat semangat baharu dan menanam azam untuk bergelar usahawan tani suatu hari nanti. 

Segalanya bermula hasil ilmu ditimba menerusi projek kebun bandar Hijrah Warrior di Pusat Transformasi Anjung Kelana sejak awal bulan lalu yang memupuk minatnya terhadap tanaman sayuran seperti timun, jagung dan sawi, sekali gus menyuntik semangat untuk berjaya. 

“Di kampung saya tak pernah pegang cangkul (untuk berkebun), tapi semua diajar di sini dari A sampai Z. 

“Rasa seronok dan teruja bila lihat kebun membuahkan hasil, saya harap terus diberi peluang berkebun seperti sekarang,” katanya. 

Mus antara 70 gelandangan dalam program pertanian bandar diilhamkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, yang dibimbing bagi menceburi perkebunan bandar sebagai inisiatif mengubah cara hidup kelompok berkenaan dan membawa mereka keluar daripada alam gelandangan.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Anwar Mohd Zain berkata, pusat transit yang dibina di bekas tapak Desa Water Park itu bertujuan memberi kemahiran serta membuka peluang pekerjaan berkaitan perkebunan dan pertanian kepada golongan terbabit.

“Kami cuba didik mereka di pusat transformasi ini. Bukan setakat kebun bandar, malah program lain turut diadakan di sini. Kami nak selamatkan dan urus mereka supaya kehidupan lebih teratur,” katanya. 

Kata Anwar, selama sebulan keberadaan golongan itu di Anjung Kelana, ada sebilangannya menunjukkan perubahan sikap dan berminat mengusahakan kebun berkeluasan 82,000 kaki persegi itu.

“Buat masa ini yang betul-betul berminat, tujuh orang (10 peratus dari keseluruhan peserta), kami harap bila mereka nampak hasil tanaman, ia menarik minat gelandangan lain pula,” katanya.

Berbekalkan latihan dan motivasi di pusat itu, beliau berharap kumpulan gelandangan boleh mengubah diri serta mendapat pekerjaan dalam bidang pertanian dan perladangan di pelbagai lokasi di luar Kuala Lumpur. 

“Kami harap mereka mahu berbakti kepada tanah supaya boleh menjana pendapatan, sekali gus menggerakkan hati dan mempunyai jati diri kerana merasakan diri mereka juga berguna dan berpeluang seperti orang lain,” katanya.

Anwar berkata, DBKL merancang mewujudkan aktiviti jualan di Pusat Transformasi Anjung Kelana bagi memasarkan hasil tani gelandangan yang memanfaatkan tanah lapang di sekitar pusat transit itu dan kawasan sekitar bawah laluan tiang pencawang elektrik berdekatan.

Sementara itu, Persatuan Kebajikan Golongan Asnaf dan Gelandangan Kuala Lumpur dan Selangor (KASGE), Rashdan Rashid berkata, selepas tiga bulan diberi pendedahan dan latihan, gelandangan menunjukkan minat dibawa untuk mengusahakan kebun, projek pertanian atau ladang lebih besar. 

“Kami mahu transformasikan gelandangan menjadi usahawan tani di beberapa tanah milik rakan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) seperti di Jelebu, Negeri Sembilan dan lokasi lain,” katanya yang mengetuai barisan pembimbing kebun bandar itu.

Rashdan berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dalam menggalakkan hasil tanaman serta memberi latihan asas perniagaan.

“Kami mahu gelandangan yang selama ini hanya dibantu dengan pemberian makanan juga boleh menghasilkan makanan dan pendapatan sendiri,” katanya. – BERNAMA