‘Kebetulan’ Teresa Di Tanjung Piai Agih Minyak Sawit

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mempersoalkan tindakan Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang didakwa ‘berkempen’ di Tanjung Piai semalam walaupun walaupun masa untuk melakukannya belum bermula.

Menurut Ka Siong, semalam Teresa ‘bersembang santai’ atau lebih tepat lagi ‘berkempen’ di No 4, Jalan Pinang, Bandar Permas, Tanjung Piai.

“Secara ‘kebetulan’, para hadirin diberikan sebotol kecil minyak sawit – Harvist Premium Extra Red Palm Fruit Oil,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Tambah Ka Siong, Teresa datang ke Tanjung Piai dengan kereta rasmi Perdana Limousine dan membuat promosi kelapa sawit sambil mengambil peluang berkempen jauh lebih awal daripada tarikh yang diizinkan.

“Persoalannya apakah ini sesuatu perbuatan yang direstui oleh pihak berkuasa? Apa kata SPR dan BERSIH? Adakah ini satu amalan dan teladan yang baik?” soalnya.

Menurutnya, perlukah ucapan tahniah diberikan kepada Teresa dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kerana mempromosikan kelapa sawit di Tanjung Piai walaupun ia hanya dijalankan selepas Ahli Parlimen asal meninggal dunia pada bulan lalu.

Malah, sindir beliau, orang ramai perlu berdoa agar pemimpin-pemimpin negara India dan China akan membeli lebih banyak kelapa sawit dari Malaysia selepas mendengar ceramah politik Teresa Kok di Tanjung Piai semalam.

Oh ya tak ya, PM kata Menteri PH kuat menabur di Tanjung Piai cuma ‘kebetulan’ saja! Teresa ‘terbawa’ kereta rasmi dan ‘teragih’ minyak kelapa sawit sambil berkempen demi ‘nusa dan bangsa’,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Loading...