Keberkesanan Topeng Muka Kain Bercorak Tidak Dapat Dipastikan

GEORGE TOWN – Penutup hidung dan mulut jenis kain bercorak kartun muncul ketika Pulau Pinang dilanda jerebu namun Jabatan Kesihatan negeri tidak dapat memastikan keberkesanan penggunaannya dalam keadaan cuaca sebegini.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Asmayani Khalib hari ini berkata, setakat ini orang ramai dinasihatkan menggunakan penutup hidung dan mulut bersesuaian, seperti jenis N95 dalam keadaan jerebu ini sementara penutup jenis kain itu tidak dapat dipastikan spesifikasinya.

“Ada pelbagai penutup hidung dan mulut kain yang dijual dan kita tidak dapat nak pastikan spesifikasi pembuatan penutup hidung dan mulut tersebut secara terperinci. Jadi, secara umum nasihat kita adalah gunakan penutup hidung dan mulut N95 jika tidak dapat mengelakkan aktiviti luar,” katanya kepada Bernama.

Asmayani berkata, sekiranya penutup hidung dan mulut N95 tidak dapat diperolehi, orang ramai boleh menggunakan penutup hidung dan mulut tiga lapis.

Beliau mengulas mengenai penjualan penutup hidung dan mulut jenis kain pelbagai corak di sekitar negeri ini, di mana tinjauan Bernama mendapati orang ramai membeli penutup hidung dan mulut jenis kain yang bercorak kartun dijual pada harga RM5 sehelai.

Menurut penjual yang mahu dikenali sebagai Ah Loong, penutup hidung dan mulut yang dibeli dari negara China dan Vietnam itu mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

Kualiti udara di negeri ini bertambah baik pada minggu ini dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang terus menunjukkan penurunan.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menerusi laman sesawangnya, apims.doe.my setakat pukul 4 petang ini, empat kawasan di negeri ini mencatatkan bacaan IPU sederhana dengan stesen Balik Pulau merekodkan bacaan 94, Minden (84), Seberang Jaya (77) dan Seberang Perai (72).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. 

Loading...