Kebebasan Media Untuk Hasilkan Laporan Lebih Analitikal

KOTA KINABALU – Pengamal media harus menggunakan sepenuhnya kebebasan media diberikan kerajaan sekarang bagi menghasilkan laporan berita lebih analitikal dan kritis yang mampu memberi kefahaman jelas serta menyeluruh mengenai sesuatu isu, kata Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A.Kadir Jasin.

Kadir berkata pengamal media khususnya wartawan juga harus mempunyai pengetahuan luas serta bermaklumat selain memastikan setiap laporan atau ulasan berita ditulis secara berhemah dan ikhlas demi kepentingan masyarakat pembaca.

“Kita (pengamal media) juga harus berani menegur kalau (ada perkara) tidak betul. Kita tidak boleh hanya mendengar apa (kenyataan) orang lain terutama orang politik tanpa kita membuat penyelidikan (selanjutnya). Kita tidak tahu sama ada kenyataan itu betul atau tidak.

“Wartawan khususnya sekarang, di mana kerajaan memberi kebebasan lebih luas, perlu mendalami laporan berita dengan membuat penyelidikan seterusnya (secara mendalam) mengenai tajuk-tajuk tersebut.

“Mereka tidak hanya boleh menjadi pelapor tetapi perlu menjadi seorang penganalisis yang mengkaji serta menyelidik sesuatu isu termasuk (dalam) menulis rencana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan dialog ‘Isu dan Cabaran Komunikasi Strategik Dalam Era Malaysia Baharu’ di sini, hari ini.

Dialog sehari itu adalah anjuran bersama Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS); Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat UMS; Bahagian Sumber Manusia dan Jabatan Pendaftar UMS; serta Persatuan Wartawan Sabah.

Dalam pada itu, Kadir berkata, laporan akhbar bercetak perlu dipertahan dan dipromosikan kerana bahan bacaan bercetak seperti surat khabar masih lagi penting bagi memastikan rakyat terus mengamalkan budaya membaca seterusnya menjadi individu bermaklumat.

“Kita tidak boleh membiarkan diri dikuasai sepenuhnya oleh teknologi. Kita boleh membaca buku secara dalam talian atau berita portal tetapi saya fikir membaca akhbar bercetak masih penting kerana ia boleh disimpan dan diulang baca.

“Kita juga tidak akan mendapat gambaran secukupnya mengenai apa yang berlaku di sekitar kita jika hanya membaca berita secara dalam talian atau melalui media sosial dan aplikasi Whatsapp,” katanya.

Kadir berkata masalah sekarang ialah ramai pembaca menolak akhbar bercetak kerana laporan politik yang tidak secocok dengan pendapat mereka sedangkan surat khabar mempunyai kandungan berita penting lain dipilih oleh pengarang.

“Walaupun keadaan perniagaan (media cetak) susah (sekarang) tetapi kalau kita menyerah kalah maka (dikhuatiri) satu hari kita akan ada orang yang tidak membaca atau orang membaca tetapi tidak ada (yang) memandunya (pengarang) untuk apa yang dibaca,” katanya. – BERNAMA

Loading...