Kebakaran Pengerang: Tiada Unsur Khianat, Pengganas

JOHOR BAHRU – Tiada unsur khianat mahupun serangan pengganas dikesan dalam tragedi kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang, malam kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan kes itu diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepenuhnya bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Polis hanya akan membuat siasatan jika ada unsur sabotaj, khianat mahu pun serangan pengganas dikesan pada fasiliti berkenaan.

“JBPM bertanggungjawab sepenuhnya siasatan tragedi berkenaan berikutan tiada unsur di atas dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Dalam insiden kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang yang berlaku kira-kira jam 10.50 malam Ahad itu, lima mangsa rentung manakala dua lagi parah.

Empat mangsa yang maut dan ditemui malam kelmarin adalah Fadhi Akmal Fadzil, 25, Azarul Ashraf Nor Akmal Zolkarnain, 28, Norfazly Md Nor, 32, dan Che Huzaydy Che Harun, 26.

Jenazah mangsa kelima, Hadi Syafiq Jamil, 28, yang dilaporkan hilang sebelum itu ditemui bomba kira-kira jam 12.42 tengah hari semalam.

Seorang lagi mangsa, dikenali sebagai Arnado Alexander, 28, parah apabila melecur 70 peratus manakala Mohd Saiful Amat, 29, pula yang berjaya menyelamatkan diri dilaporkan melecur 40 peratus pada tubuhnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz, berkata proses bedah siasat jenazah lima mangsa rentung tragedi kebakaran dan letupan Kompleks Bersepadu Pengerang akan mula dilakukan hari ini.

Nik Azaham berkata, bedah siasat berkenaan akan dilakukan pakar patologi dari Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas mengunjungi tapak kejadian di Pengerang, Kota Tinggi, bagi mengambil sampel mangsa jam 11 pagi ini.

“Bedah siasat akan dijalankan sejurus selepas itu. Pakar patalogi juga akan mengambil data asid deoksiribonukleik (DNA) dari keluarga mangsa bagi tujuan pengecaman jenazah sebelum ia dapat dituntut,” katanya ketika dihubungi di sini. – BH Online

Loading...