KDNK Suku Pertama 2019 Dijangka Lemah

KUALA LUMPUR – AmBank Research menjangkakan Malaysia mencatat pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) yang lemah, antara 3.8 peratus dan 4.2 peratus pada suku pertama 2019 (1Q19), berbanding 4.7 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2018.

“Berdasarkan prospek data KDNK yang lemah pada 1Q19, serta cakap-cakap bahawa Bank Negara mungkin menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) semasa pada 3.25 peratus, pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari bulan ini, semakin menjadi perhatian.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan bank pusat berkemungkinan akan mengekalkan kadar pada mesyuarat Mei ini, dan menurunkan kadar pada Julai,” kata firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini.

AmBank juga berkata eksport dan import kekal dalam jajaran negatif untuk bulan kedua berturut-turut, dengan eksport susut 0.5 peratus tahun ke tahun (yoy) pada Mac, manakala import merosot 0.1 peratus, menjadikan eksport 1Q19 susut 0.9 peratus.

Ia juga berkata import menguncup 2.8 peratus manakala lebihan dagangan Mac mencecah RM14.4 bilion.

“Kekurangan eksport daripada segmen elektrik dan elektronik (E&E), bagaimanapun ditampung oleh produk berasaskan sumber,” katanya.

Loading...