KDN Terima Sumbangan 20,000 Topeng Muka Dari China

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima sumbangan 20,000 topeng muka daripada Kedutaan Besar China di Malaysia, hari ini, untuk digunakan petugas barisan hadapan kementerian itu.

Sumbangan disampaikan oleh Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian, kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, di ibu pejabat kementerian itu di Putrajaya.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Jamil Rakon; serta Timbalan KSU (Pengurusan), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz.

KDN dalam satu kenyataan merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan itu yang disifatkan sangat bermakna ketika negara sedang berjuang memerangi wabak COVID-19.

“Sumbangan ini mencerminkan hubungan diplomatik dan persahabatan erat antara kedua-dua negara,” katanya.

Kelmarin, Kedutaan Besar China di Malaysia menyerahkan pelbagai peralatan perubatan kepada Kementerian Kesihatan bagi membantu barisan hadapan kementerian itu menghadapi COVID-19.

Antara yang disumbangkan ialah lebih 100,000 kit diagnostik asid, kit ujian (100,000 unit), topeng muka N95 (500,000 unit), topeng muka pembedahan (50,000 unit) dan peralatan perlindungan diri (200 unit). – BH Online

Loading...