KBS Serah SPRM Isu Presiden Persatuan Ditahan

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung penahanan seorang presiden persatuan sukan kebangsaan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau yakin SPRM akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil berhubung perkara berkenaan.

“Saya rasa dalam bab ini, lebih baik kita berikan ruang kepada SPRM untuk melakukan siasatan.Saya tidak pasti apa tujuannya (punca penahanan), dan biarkan mereka (SPRM) uruskan perkara ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan telah mengesahkan perkara berkenaan dan Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan suspek direman sehingga Ahad.

Suspek dilapor ditahan di rumahnya di Melaka, hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.

Terdahulu, Syed Saddiq ditemui pemberita selepas hadir pada majlis penajaan oleh Genting Malaysia Berhad kepada penganjur kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage (M) Sdn. Bhd. di Menara KBS, di sini.

Pada majlis berkenaan, Naib Presiden (Perhubungan Korporat dan Komunikasi) Genting Malaysia Berhad, Datuk Seri Kay Prakash menyerahkan cek penajaan berjumlah RM5 juta untuk Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahaizereen Abdul Hamid bagi penganjuran kejohanan berbasikal terulung Asia berkenaan.

Loading...