Kawal Kuasa Pengerusi & Intergriti ALP

KES penyelewengan berskala besar dalam Felda Investment Corp. (FIC) yang sedang disiasat SPRM mencetuskan persoalan yang perlukan tindakan segera.

Skandal FIC membabitkan pembelian dua hotel di Kuching, Sarawak dan Kensiston, London mencetuskan kebimbangan wujud penyelewengan dana berjumlah RM310 juta.

Merujuk pada siasatan SPRM dan angka penyelewengan yang didedahkan, timbul isu mengenai had dan kuasa pengerusi dalam membuat keputusan kewangan. Isu FIC mencetuskan kebimbangan mengenai amalan tadbir urus dalam semua agensi dan syarikat milik kerajaan.

Puluhan jawatan pengerusi dalam pelbagai agensi kerajaan, terutama yang memiliki bajet perbelanjaan yang besar harus diselia semula.

Apakah kuasa had sebenar kuasa pengerusi dalam konteks statusnya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif?

Selain isu had kuasa pengerusi, isu kegagalan peranan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) dalam menjaga kepentingan agensi juga perlu dikaji.

Seorang pegawai tinggi dan kanan di Pejabat Perdana Menteri membuat rumusan ketika ditanya: Mengapa Pengerusi sekarang sangat berkuasa? Bukankah lantikan pengerusi (bukan eksekutif) sangat terhad bidang kuasanya.

Jawabnya: Amalan ini menjadi teruk disebabkan budaya. Ahli politik membawa sikap politiknya sebagai Pengerusi dan gagal mengawal kuasanya. Akhirnya, sikap politiknya menjadikan tidak ada pihak mampu mengawal tindakannya.

Jadi kesimpulannya: Apakah wajar, orang politik jangan dilantik ke jawatan Pengerusi kerana kepentingan dan kuasa politiknya merisikokan agensi?

Persoalan seterusnya: Apa peranan ALP serta kriteria perlantikannya?

Seorang yang pernah menjawat jawatan timbalan menteri merumuskan: Secara budaya, banyak individu yang dilantik tidak berkredibiliti. Banyak yang dilantik atas kapisiti menteri dan kebanyakkan diputuskan menteri yang mengawal agensi di bawah kementerian.

Jadi di sini timbul persoalan:

1. Kuasa Pengerusi harus dihadkan berdasarkan kedudukannya senagai bukan eksekutif.

2. Syarat dan terma kuasa pengerusi dalam agensi harus dikuatkuasa.

3. Memastikan lantikan ALP bukan sekadar kerusi muatan kawan-kawan menteri.

Kekecewaan rakyat terhadap cara kerajaan melantik pengerusi dan ALP kini menuju perdebatan besar berikutan isu FIC.

Persoalan utama: Mengapakah kuasa pengerusi dibiarkan menjadi begitu besar hingga menguasai keputusan perniagaan? Sedangkan di peringkat operasi ia milik Presiden atau Ketua Pegawai Eksekutif?

Bukan isu baharu, isu pengerusi dikaitkan menggunakan kuasa demi kepentingan peribadi. Malah, isu Pengerusi menyonglap wang dengan melaksanakan keputusan peniagaan yang korup?

Seterusnya tafsiran terhadap intergiti ALP: Apakah selama ini tidak ada seorang pun ALP yang menyedari tindakan Pengerusi yang terang-terangan korup?

Kalau isu pembelian aset dengan tiga kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran tidak disedari ALP, timbul lagi persoalan: Apa jenis kualiti pengetahuan yang dimiliki ALP hingga langsung tidak tahu keputusan perniagaan yang terang-terangan merugikan?

Kita yakin, skandal FIC adalah kunci yang membuka pintu kelemahan yang berleluasa di pelbagai agensi kerajaan. Sekiranya SPRM menyiasat lebih terperinci di lebih banyak agensi, skandal pengerusi dan sikap tidak berintegriti ALP pasti akan lebih banyak terbongkar.

Kecuaian ini mesti dihentikan. Calon Pengerusi yang sudah ada rekod rasuah dalam parti, atau secara lateral imejnya sudah kotor, jangan dilantik jadi Pengerusi.

Melantik ALP pula jangan sekadar jadi amalan menempatkan kawan atau kenalan menteri. Hal ini wajar dihentikan segera.

Kes FIC sangat serius. Malah nanti, apabila kes FGV yang juga berada dalam radar SPRM mula disiasat, ia akan mendedahkan lebih banyak kelemahan.

Kerajaan wajar mulai sedar: Betapa menderitanya kumpulan pengurusan profesional dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan menanggung beban berdepan kuasa pengerusi dan dilema ALP yang tidak berintegriti.

Dalam kata lain, kes FIC mendedahkan realiti: Perlu ada reformasi dalam isu melantik serta mengawal kuasa pengerusi. Juga proses memilih. – MYNEWSHUB.CC

Loading...