Kastam Sukar Peroleh Maklumat Kem Di Wang Kelian

PUTRAJAYA – Bekas pengarah kastam Perlis, Mohd Pudzi Man berkata pihaknya sukar mendapatkan maklumat mengenai aktiviti kem penyeludupan manusia di Wang Kelian, Perlis.

Beliau berkata sepanjang berkhidmat di Perlis dari 2011 hingga 2016, maklumat yang diperolehi amat sedikit dan jika ada pun samar-samar.

“Saya hadapi masalah kumpul risikan penyeludupan manusia berbanding barang-barang (rampasan) seperti dadah dan mercun.

“Orang ramai salurkan maklumat tetapi berbeza untuk kes penyeludupan,” katanya dalam sesi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam kes penemuan kem penyelupan manusia dan kubur besar di Wang Kelian.

Pudzi merupakan saksi ke-29 dalam pendengaran awam yang diadakan di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya yang memasuki hari ke-10 hari ini.

Saksi itu tampil memberi keterangan di depan 7 panel RCI yang diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria selaku pengerusi.

Pudzi berkata walaupun Jabatan Kastam terlibat dengan polis dan imigresen dalam Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), tetapi maklumat sukar diperolehi walaupun mendesak pegawai mendapatkannya.

“Kita ada dapat maklumat ada kenderaan ambil pendatang asing tanpa izin (Pati) di Wang Kelian, tetapi kalau serbu pun kita tak ada kes (penyeludupan manusia).

“Pada pandangan saya memang semua agensi akan berjaga-jaga dan kalau berlaku secara besar-besaran mungkin kita akan boleh kesan,” katanya.

Pudzi berkata beliau hanya mengetahui penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur besar di Wang Kelian melalui media surat khabar.

Beliau berkata memang amat memeranjatkan dan tidak menjangka berlakunya kem penyeludupan manusia secara besar-besaran.

“Sebab sebelum ini kes kecil-kecil sahaja,” katanya. – FMT

Loading...