Kastam Sarawak Sita 18 Kenderaan Mewah RM4.7 Juta

KUCHING – Lapan belas kenderaan mewah pelbagai jenama disita kastam dalam operasi khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras penyalahgunaan kemudahan dan penyeludupan kenderaan asing ke Sarawak.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Azimah Abd Hamid berkata anggaran jumlah nilai sitaan kenderaan terlibat adalah RM4,744,103 dengan jumlah duti cukai sebanyak RM8,150,868.88.

“Merujuk kepada Butiran 13, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017, pengecualian hanya diberikan kepada warga asing ataupun warganegara Malaysia yang berstatus Penduduk Tetap (PR).

“Ataupun memiliki permit kerja yang sah di negara asing untuk memandu kenderaan yang didaftarkan oleh pihak berkuasa negara tersebut dengan syarat kenderaan itu hendaklah dieksport semula dalam tempoh 3 bulan dari tarikh ia dibawa masuk,” katanya pada sidang media operasi khas berkenaan, hari ini.

Azimah berkata kes disiasat di bawah Seksyen 133 (1) dan Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 yang kesalahan awal yang dikenal pasti ialah tinggal melebihi tempoh ditetapkan, penggunaan pas kenderaan yang disyaki palsu dan beberapa pelanggaran peruntukan di bawah akta terbabit.

Ditanya sama ada aktiviti berkenaan didalangi oleh sindiket penyeludupan kereta mewah ataupun individu yang mempunyai gelaran “datuk”, Azimah berkata ia masih terlalu awal untuk membuat rumusan.

“Kita tunggu dulu siasatan lengkap. Apa yang kami nyatakan di sini ialah ia melibatkan kenderaan mewah…faham-faham sahajalah,” katanya ringkas.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan pemantauan dan pengumpulan maklumat oleh SPRM, mendapati jumlah kenderaan asing khususnya dari Brunei yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan masih berleluasa.

“Kenderaan tersebut disyaki berada di bandar-bandar utama Sarawak terutamanya di Bandaraya Kuching dan daerah Samarahan,” tambahnya.

Loading...