JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia menahan dua lelaki tempatan dan merampas 300kg dadah bernilai RM18 juta dalam operasi di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini, 1 Nov lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri T. Subromaniam berkata suspek yang berumur 30 dan 35 tahun itu ditahan dalam operasi pada kira-kira pukul 2 petang, hasil maklumat orang ramai.

Beliau berkata dadah yang disyaki jenis methamphetamine seberat 300kg itu diseludup ke dalam sebuah kontena dari luar negara melalui Pelabuhan Klang di Selangor dan kemudian dibawa masuk ke PTP.

“Penyeludupan ini licik, kerana mereka menyorokkan dadah di dalam penapis air yang dikosongkan dan kemudian diisi dengan pasir supaya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuatkuasa. Mereka juga membuat ikrar bahawa barangan dalam kontena itu adalah 30 unit penapis air.

”…apabila diperiksa lanjut, ia didapati mempunyai bungkusan mengandungi bahan berbentuk kristal putih disyaki methamphetamine. Selain itu, kontena juga mengandungi dua unit tangki air dan 50 kotak karton kosong,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Subromaniam berkata pihaknya percaya dadah itu hanya ‘transit’ di Malaysia, namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui sama ada dadah dijual untuk pasaran Malaysia mahupun sebaliknya.

“Kita juga akan lihat punca-punca kewangan (pendapatan) suspek. Jika ada yang meragukan, kita akan bekukan akaun mereka kerana kita ada kuasa untuk berbuat demikian dan suspek juga telah direman,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit dengan kesalahan.

Sementara itu, Subromaniam memberitahu jumlah rampasan dadah melonjak hampir empat kali ganda iaitu kepada 3,110 kg pada tahun ini berbanding hanya 812 kg tahun lepas, manakala nilai rampasan pula sehingga Okt lepas berjumlah RM141 juta, berbanding RM92 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya tangkapan ke atas suspek turut meningkat daripada 44 orang kepada 78 orang.

“Peningkatan ini disebabkan kastam mempunyai jaringan yang baik dengan agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara. Selain itu, kita juga ada maklumat daripada pejabat risikan wilayah kastam yang bekerjasama dengan polis, selain dibantu oleh pemantauan ketat di pintu sempadan dan pelabuhan,” katanya. – BERNAMA

Loading...