Kastam Nafi Batal Tuntutan Cukai Jualan, Penalti Carlsberg

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan laporan berhubung pembatalan notis tuntutan cukai jualan dan penalti ke atas Syarikat Carlsberg Malaysia (Carlsberg) yang dilaporkan oleh sebuah portal berita semalam.

JKDM menerusi kenyataannya hari ini, menegaskan laporan berkenaan merujuk kepada laporan bertajuk ‘Lim Guan Eng DAP arah Kastam batal tuntutan cukai jualan, penalti RM20.65 juta kepada Carlsberg’.

“Sehubungan itu, JKDM ingin menegaskan bahawa tindakan untuk membatalkan Notis Tuntutan (Bill Of Demand) dan penalti ke atas Carlsberg atas sebab-sebab perundangan yang mana syarikat itu sudah membawa isu terbabit ke Mahkamah Tinggi dan keputusan menyebelahi syarikat itu.

“Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, oleh itu, laporan yang didakwa portal berita berkenaan adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, portal berita berkenaan melaporkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengarahkan jabatan berkenaan yang juga di bawah Kementerian Kewangan membatalkan notis tuntutan cukai jualan dan penalti kepada Carlsberg.

Portal berita itu turut menyatakan Carlsberg dilaporkan dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia menerima surat daripada pengarah Jabatan Kastam Selangor berhubung perkara itu.

Katanya, pembatalan notis tuntutan cukai jualan berjumlah RM13.76 juta dan penalti RM6.88 juta bagi 1 Julai 2011 hingga 14 Januari 2014 itu berkuat kuasa 15 Januari lalu.

“Pada September 2014, Carlsberg dilaporkan berkata, Jabatan Kastam Selangor menuntut duti eksais berjumlah RM35.7 juta, cukai jualan sebanyak RM13.76 juta dan penalti RM6.88 juta mulai 1 Julai 2011 hingga 14 Jan 2014.

“Syarikat itu bagaimanapun menolak liabiliti ke atas tuntutan itu dan akan mendapatkan nasihat berhubung perkara berkenaan,” katanya. – BH Online

Loading...