Kartunis Aie Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR – Kartunis Aie atau nama sebenarnya Shaari Sulong yang terkenal dengan karya ‘Áku Hidup Dalam Blues’ meninggal dunia di kediamannya di Banting awal pagi tadi.

Aie, 49, meninggal dunia jam 4 pagi tadi akibat komplikasi buah pinggang.

Menurut rakan kartunisnya, Mazli Ibrahim atau Gayour, perkhabaran itu disampaikan oleh biras arwah Rosli Ismail yang juga kartunis Manggis kepadanya kira-kira jam 4 pagi.

“Beliau memang mempunyai penyakit kencing manis dan buah pinggang serta menerima rawatan dialisis sejak lima tahun lalu.

“Kali terakhir saya bertemu beliau ialah pada 2019, sejak COVID-19 saya hanya bertanya khabar beliau melalui WhatsApp dan panggilan telefon sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Aie pernah berkarya dalam majalah Jenakarama sebelum bersama majalah terkenal Ujang sejak 1994 hingga awal 2000.

Dalam majalah Ujang, Aie terkenal dengan siri ‘Abe’ dan ‘Aku Hidup Dalam Blues.’ 

Beliau kemudian meneruskan projek kartun secara solo dan menghasilkan karya ‘Áku dan Sesuatu’ serta ‘Blues Untuk Aku’.

Anak kelahiran Johor itu meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Manggis, Banting, hari ini. – BERNAMA