Karnival YEZ Wadah Kreatif PPZ Galak Berzakat

MERIAH… Hujung tahun ini sekali lagi umat Islam di ibu kota ‘digegarkan’ dengan Karnival Year End Zakat (YEZ) atau berzakat…

MERIAH… Hujung tahun ini sekali lagi umat Islam di ibu kota ‘digegarkan’ dengan Karnival Year End Zakat (YEZ) atau berzakat akhir tahun dengan pelbagai program yang menarik disediakan.

Acara anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kali ini berlangsung penuh meriah di sekitar Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju selama dua hari mulai 1 Disember.

Uniknya, selain 90 gerai jualan dari asnaf, sejumlah program diadakan antaranya aktiviti memanah, ceramah liga Quran, pertunjukan fesyen Muslimah, pertandingan azan, mewarna, gusti lengan dan masak bersama Chef Zubir.

Tidak ketinggalan, selain ada sudut pemeriksaan kesihatan, kaunter zakat dan Baitulmal, pengunjung cilik pula dihiburkan penganjur menerusi slot ceria bersama Didi & Friends serta sesi ramah mesra maskot Omar & Hana.

Di samping cabutan bertuah dengan hadiah menarik untuk pengunjung, bagi remaja pula ada disediakan Konsert YEZ menampilkan ramai artis popular antaranya Hijjaz, D’Vision, Saujana, Ali XPDC, Raihan dan Hafiz Hamidun.

Istimewanya, Grand Forum Super Star menutup Karnival YEZ pada 2 Disember dengan penampilan pendakwah terkenal iaitu Datuk Dr. Izhar Ariff, Ustaz Shahrizan, Daud At-Turabi dan Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang.

Perasmian dilakukan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali yang turut sampaikan hadiah kepada ramai pemenang Kempen Skim Thohir 2018 dan Jom Berzakat Melalui Portal 2018 diadakan selama tiga bulan lepas.

Menariknya, hadiah pemenang langsung tidak guna duit zakat, sebaliknya 10 pakej pelancongan luar negara ditaja agensi Five Estec Travel Services Sdn. Bhd. manakala 60 hadiah telefon pintar disediakan Seri Beauty Sdn. Bhd.

Bercakap kepada media selepas acara perasmian, Che Mat memberitahu bahawa Karnival YEZ diharap dapat tarik minat umat Islam khasnya golongan berkemampuan untuk tunai kewajipan berzakat menjelang akhir tahun.

(Dari kiri) Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan Pengarah Urusan Five Estec Travel Services Sdn. Bhd., Sharizan Mohd Saad.

“PPZ ada 11 cawangan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang dibuka setiap hari pada bulan ini, sekali gus mereka yang sibuk kerja akan dapat hadir bayar zakat bagi tuntutan pengecualian cukai pendapatan,” jelasnya.

Malahan, Che Mat berkata, umat Islam di Wilayah Persekutuan juga boleh layari portal rasmi agensi itu melalui www.zakat.com.my yang mudah diakses 24 jam setiap hari termasuk taksiran untuk semak kelayakan zakat.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff pada sidang media sama berharap, kutipan zakat secara atas talian mampu capai sasaran RM25 juta pada tahun ini melibatkan pembayar usia muda.

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali.

“Ini terbukti ketika kempen bayar melalui portal baru-baru ini catat peningkatan sekitar 37 peratus berbanding tahun sebelumnya… Secara keseluruhan pula, PPZ sasar tahun ini Insya-Allah boleh kutip RM650 juta,” jelasnya.

Keyakinan itu ujar Ahmad Shukri, berdasarkan maklum balas positif selepas PPZ melancarkan portal Zakat2u versi 4.0 awal bulan lalu yang banyak penambahbaikan setelah versi pertama diperkenalkan pada 2011. – Mynewshub.TV

Loading...