Kanak-Kanak Sakit Baring Atas Lantai Di Lapangan Terbang

SEKEPING gambar yang memaparkan seorang kanak-kanak sedang sakit tenat dan terbaring di atas lantai di Lapangan Terbang Heathrow telah mengejutkan ramai.

Ia menjadi perbualan ramai netizen selepas ia dimuat naik dalam laman Facebook sebuah badan kebajikan, Yayasan Gaius.

Memburukkan keadaan, kanak-kanak berkenaan tidak disediakan kerusi roda, selimut ataupun pengusung sedangkan kakitangan lapangan terbabit telah dimaklumkan mengenai perkara itu berbulan-bulan yang lalu.

Ketika itu, kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Napu menggunakan tiub tracheostomy.

“Di sebalik berbulan-bulan persediaan, mereka tidak sedia apa-apa. Mereka letak Napu di atas lantai berjam-jam dan tiada langsung memberikan selimut, apatah lagi pengusung dan kerusi roda.

“Dia juga tidak diberikan air selama tiga jam,’’ demikian tulis Yayasan Gaius dalam Facebooknya.

Yayasan berkenaan juga melahirkan kekesalan kerana kakitangan lapangan terbang itu tidak dapat membantu memindahkan kanak-kanak tersebut ke pesawat lain.

Susulan itu Yayasan Gaius akan mengambil tindakan undang-undang bagi pihak keluarga Napu dan Dr. Małgosia Stolarska serta jururawat Grzegorz Poźniak yang bertugas dengan yayasan itu ke atas Lapangan Terbang Heathrow.

Keadaan yang berlaku di lapangan terbang itu juga amat mengecewakan keluarga Napu dan yayasan berkenaan nekad untuk mengetahui apa yang berlaku sebenarnya. – Agensi