Kanak-Kanak Maut Kemalangan 3 Kenderaan

SEREMBAN – Satu kemalangan ngeri yang membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 271.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki.

Kejadian itu berlaku berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Lapor Awani, kejadian berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda BRV yang dinaiki mangsa bersama tiga ahli keluarganya dirempuh bas ekspres yang turut melibatkan MPV Toyota Estima.

Mangsa, Muhammad Wafiq Fitri Walillah, 7, maut selepas dipercayai tercampak dari tempat duduk belakang kereta yang dipandu bapanya, Walilah Karim, 40.

Sementara ibunya,  Sri Yulianty Mukhtaruddin, 34, adiknya, Puteri Wafiqah, 2, yang duduk dipangkuan ibunya, cedera parah dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan.

Mereka sekeluarga dipercayai dalam perjalanan dari Rembau menuju ke Taman Medan, Petaling Jaya di Selangor.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, ASP Mohd Hafidzal Zainal Abidin berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila bas ekspres berkenaan hilang kawalan lalu merempuh kenderaan mereka sekeluarga yang bergerak perlahan akibat trafik sesak.

“Siasatan awal mendapati bas yang berada di lorong tengah dari arah Seremban menghala ke Nilai itu telah hilang kawalan dan terus melanggar belakang Honda BRV yang bergerak perlahan.

“Sebuah kereta Toyota Estima yang sebelum itu berada di hadapan bas berkenaan sempat menukar haluan ke lorong kiri tetapi dilanggar di bahagian belakang oleh sebuah kereta jenis Mercedes yang berada di lorong itu,” katanya.

Menurutnya, pemandu bas terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut termasuk menjalani ujian air kencing dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pemandu Toyota Estima, Ng Keng Leong, 51, berkata, dia dan keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Klang, Selangor setelah bercuti di Melaka.

Menurutnya, ketika itu, dia memandu di lorong kedua dari kiri sebelum mengelak MPV Honda BRV yang dinaiki mangsa yang bergerak perlahan secara tiba-tiba di lorong yang sama.

“Selepas itu bas yang berada di belakang saya gagal memberhentikan kenderaan lalu merempuh kedua-dua kenderaan ini.

“Mujur saya bersama empat ahli keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. –MYNEWSHUB.CC

*Video sekadar hiasan.

Loading...