Kanak-Kanak Lelaki Mati Terbelit Kain Pengikat Langsir

ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut dipercayai akibat terbelit kain pengikat langsir di rumahnya di Taman Belimbing, Jitra dekat sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Nur-Eman Al-Rahdie Noreffendi bermain dengan dua adiknya berusia tujuh dan 10 tahun.

Mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Malau dikatakan bermain dengan kain pengikat langsir yang disangkut pada hujung besi buaian spring bayi.

Kanak-kanak itu dipercayai terbelit ketika meletakkan lehernya pada kain pengikat langsir tersebut sambil berbuai.

Dia kemudian didapati tidak sedarkan diri dalam keadaan mulut berbuih oleh adiknya yang kemudian memaklumkan kejadian kepada ibu bapanya yang berehat di dalam bilik tidur.

Bapa mangsa berusia lingkungan 30-an sempat membuat bantuan pernafasan, namun tiada tindak balas positif.

Mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Jitra, bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur mengesahkan kejadian dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE

Loading...