Kanak-Kanak Iraq Diseksa Supaya Mengaku Daesh

BAGHDAD – Pasukan keselamatan di Kurdistan, Iraq, ‘menyeksa kanak-kanak’ untuk memaksa mereka mengaku mempunyai hubungan dengan kumpulan Daesh, kata Human Rights Watch (HRW) semalam.

Kumpulan hak asasi itu berkata, ia menemuramah 23 budak lelaki berusia antara 14 dan 17 tahun yang didakwa atau disabitkan menganggotai Daesh, dengan 16 daripada mereka mendakwa ‘diseksa’ ketika soal siasat.

Sesetengah budak lelaki berkata, anggota pasukan keselamatan Kurdis dikenali sebagai Asayesh, memukul dengan paip plastik, kabel elektrik atau batang kayu sementara yang lain berkata, mereka menjadi mangsa renjatan elektrik atau berada pada kedudukan tekanan menyakitkan digelar ‘kala jengking,’ kata pemerhati.

“Beberapa budak lelaki berkata, mereka diseksa secara berterusan selama beberapa hari dan dihentikan apabila ‘mengaku’ terbabit dengan Daesh.

“Kebanyakannya berkata, mereka tiada akses mendapatkan peguam dan tidak dibenarkan membaca pengakuan ditulis Asayesh yang memaksa mereka menandatanganinya,” katanya.

Katanya, hukuman dikenakan pasukan keselamatan Kerajaan Serantau Kurdistan di utara Iraq berlaku pada 2017 dan 2018 walaupun pihak berkuasa berjanji menyiasat dakwaan seksaan itu. – Agensi

Loading...