Kanak-Kanak 8 Tahun Hilang Sewaktu Bermain

KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dilaporkan hilang selepas keluar bermain di kawasan kediamannya di Bandar Seri Putra di sini semalam.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Sainih Sunding, 46, berkata, anak bongsunya, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd. Fauzi, 8, atau lebih mesra dengan panggilan Zahir tidak pergi ke sekolah semalam dan keluar dari rumah kira-kira pukul 8 pagi untuk bermain bersama rakan-rakannya.

“Saya hanya menyedari kehilangan Zahir apabila tidak melihat kelibatnya di rumah sebaik pulang ke rumah dari tempat kerja.

“Saya bertanya kepada anak ketiga saya mengenai Zahir namun dia memaklumkan adiknya bermain dengan rakan di sekitar rumah sebelum saya mengarahkan dia memanggil adiknya pulang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Sainih, Zahir bagaimanapun gagal ditemui dan ada jiran memaklumkan terlihat kanak-kanak berkenaan bermain di kawasan sekitar kejiranan tersebut pada sebelah petang.

“Saya telah membuat laporan polis berhubung kehilangan Zahir di Balai Polis Bandar Seri Putra malam tadi dan sudah mencarinya di beberapa kawasan di sekitar Bandar Seri Putra namun masih belum menemuinya.

“Kali terakhir Zahir dilihat, dia memakai baju kemeja T berwarna hitam dan seluar panjang berwarna biru,” jelasnya.

Tambah Zainih, Zahir tidak pernah berbuat demikian dan amat risaukan keselamatan anak bongsu daripada lima beradik itu.

Kehilangan kanak-kanak tersebut turut dihebahkan melalui Nur Alert hari ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kehilangan Muhammad Zahiruddin bolehlah menghubungi balai polis berhampiran. – K! ONLINE

Loading...