Kanak-Kanak 5 Tahun Didera Ibu, Teman Lelaki

GOERGETOWN – Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun ditemui dengan kesan lebam di bahagian muka, lengan dan kaki serta kesan kecederaan di bahagian kemaluan dipercayai didera oleh ibunya dan teman lelaki sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, terdahulu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menyerbu sebuah rumah di Jalan Jelutong di sini pada Sabtu lalu sebelum menemui kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, serbuan yang dilakukan jam 12 tengah malam itu bertujuan untuk menangkap teman lelaki ibu kanak-kanak berkenaan selepas dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, pegawai polis menemui seorang kanak-kanak lelaki yang dipenuhi kesan lebam di pipi dan lengan disyaki akibat didera.

“Siasatan yang dilakukan mendapati kanak-kanak itu memaklumkan yang dia dipukul ‘daddy’ iaitu teman lelaki ibunya dan juga ibunya sendiri, namun tidak memberitahu sebab diperlakukan demikian,” katanya ketika dihubungi di sini.

Che Zaimani berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani rawatan dan doktor mengesahkan terdapat kesan lebam di lengan, kaki serta cedera kemaluan.

Bagaimanapun katanya, imbasan X-ray mendapati tiada sebarang kesan patah yang berlaku pada mangsa.

“Mangsa kini ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut dan berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Ekoran daripada itu, kita menahan ibu kandung mangsa yang berusia 28 tahun dan teman lelakinya yang berusia 37 tahun,” katanya.

Sementara itu, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphethamine.

Jelasnya, semakan yang dibuat mendapati suspek lelaki mempunyai 12 rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah.

“Kedua-dua suspek kini direman untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Loading...