Kambing Pun Tahu Jantan Betina, Sindir Tok Mat

KUALA LUMPUR – “Jangan pilih yang tak tahu jantan betina. Kambing pun tahu jantan betina,” sindir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tegas beliau, negara dan bangsa yang berjaya mesti diketuai oleh pemimpin yang mempunyai kewibawaan moral.

Menurutnya, pemimpin yang mempunyai pemikiran termaju sahaja, tidak mencukupi, jika tidak diapit dengan keperibadian murni lagi terpuji.

“Kualiti terpenting dalam kepimpinan bangsa Melayu ialah moral. Tiada pemikiran terhebat, kepetahan berpidato atau karisma luar biasa dapat mengatasi kepentingan moral dan akhlak murni.

“Bila kita mengangkat pemimpin yang bermoral, kita melakukan perkara betul dan benar, untuk bangsa dan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tambahnya, sejak kebelakangan ini krisis moral dalam kalangan pemimpin menjadi semakin membarah.

“Negara tidak boleh dipimpin, walau sesaat dan sedetik, oleh mereka yang wibawanya diragui.

“Malaysia selayaknya memerlukan pimpinan Melayu yang lebih adil dan murni, rendah diri dan soleh,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad mengakui selama ini UMNO memandang enteng tentang perihal kepimpinan dan latihannya.

“Sekarang kita mesti mengambil serius akan hal ini. Kerana tanpanya, parti kita dan orang Melayu akan kehilangan peluang untuk mendahului persaingan dan kebolehan mendepani cabaran,” katanya. – Sinar Harian

Loading...