Kamaruddin: Lanun Maut Selepas Tembung Dengannya

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

“LAPORAN yang baru saya terima mengatakan terdapat lima buah bot disyaki lanun sedang menghampiri kawasan tanggungjawab kita.

“Jadi saya hendak kamu bersedia untuk memburu lanun-lanun tersebut,’’ arah seorang pegawai Kompeni A, Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) kepada Prebet Kamaruddin Atan dan tujuh anggota yang lain.

Sebaik mendengar arahan itu, hati Kamaruddin menjadi tidak keruan. Rasa cemas dan bimbang mula menghantuinya.

Bukan kerana takut mati jika ditakdirkan bertempur dengan lanun-lanun terbabit, tetapi memikirkan adakah mereka berlapan mampu menentang musuh yang begitu ramai dan turut memiliki senjata moden.

Malah tidak mustahil, musuh memiliki senjata setanding atau yang jauh lebih baik daripada mereka seterusnya memiliki kuasa tembakan yang sukar untuk ditandingi.

Perkiraan keadaan yang dibuatnya itu bukannya tanpa asas yang kukuh. Ia berdasarkan pengalamannya bertempur dengan lanun kira-kira dua minggu sebelum itu di Pulau Tambisan, Sandakan pada 1 September 1993.

Ketika itu, lanun hanya menaiki sebuah bot sahaja, tetapi bilangan dan senjata yang dimiliki jauh lebih baik daripada milik pasukan tentera.

“Disebabkan itu, apabila seksyen kami diarahkan bersedia untuk memburu bot yang disyaki dinaiki lanun itu, perkara pertama yang saya lakukan ialah meminta kebenaran pegawai agar membekalkan kami semua dengan senjata bantuan Mesingan Ringan (LMG) dan Mesingan Kegunaan Am (GPMG).

“Kalau setakat membawa rifel M-16, ia boleh mengakibatkan malapetaka kepada kami kerana lanun diketahui memiliki senjata yang agak baik,’’ katanya yang ketika itu ditempatkan di Pulau Jambongan, Sandakan dalam Operasi Pulau untuk tempoh selama dua bulan.

Menurut Kamaruddin yang ketika itu berusia 23 tahun dan baru tiga tahun menjadi anggota tentera, pengalamannya bertempur dengan lanun di Pulau Tambisan cukup untuk mengajarnya agar lebih bersedia.

Dalam pertempuran pada sebelah pagi itu, beliau bersama lima yang lain dan diketuai oleh Leftenan Muda Suhaidi Saad telah berbalas tembak dengan sekumpulan tujuh atau lapan orang lanun yang bersenjatakan tiga laras M-16 serta dua atau tiga laras senjata Garand 7.62.

Peluru Atas Kepala

Pertempuran itu, memang mencemaskan mereka semua kerana tidak mempunyai tempat untuk berlindung kecuali dinding perahu atau bot tempur.

Bukan itu sahaja, mereka turut dapat merasakan kehadiran peluru yang bersimpang-siur di atas kepala di samping menyaksikan percikan air laut yang terkena peluru lanun-lanun berkenaan.

Bagi Kamaruddin, rasa cemasnya memuncak sebaik sahaja peluru dari kelopak pertamanya habis dimuntahkan.

“Ketika menukar kelopak, rasa berdebar-debar Tuhan sahaja yang tahu kerana saya bimbang ketika itulah peluru musuh mengenai saya.

“Maklumlah tempat berlindung tidak ada dan satu-satu cara untuk mengelakkan dari terkena tembakan ialah dengan memastikan musuh tidak berpeluang membalas tembakan kita,’’ kata anak Felcra Lembah Kesang, Merlimau, Melaka ini.

Ketika menukar kelopak, rasa berdebardebar Tuhan sahaja yang tahu kerana saya bimbang ketika itulah peluru musuh mengenai saya. Maklumlah tempat berlindung tidak ada dan satu-satu cara untuk mengelakkan dari terkena tembakan ialah dengan memastikan musuh tidak berpeluang membalas tembakan kita.

Lebih membimbangkan Kamaruddin ialah beliau duduk di barisan paling depan mengadap bot lanun dan ini menjadikannya sebagai sasaran paling senang untuk ditembak.

Lagipun, waktu itu untuk menenang bukan mudah. Jadi cara terbaik untuk melepaskan tembakan ialah menerusi tembakan semburan atau automatik.

Walaupun berlaku pertempuran sengit, namun mereka bernasib baik kerana tiada sebutir pun peluru musuh singgah di badan mereka atau pada bot tersebut.

Mungkin keadaan laut yang sedikit bergelora menyukarkan musuh menenang dan melepaskan tembakan dengan tepat ke arah mereka.

Jika tidak pasti bot mereka akan tenggelam dan seterusnya memudahkan musuh menewaskan mereka.

Keadaan itu turut memberi kesempatan kepada pasukan Kamaruddin untuk menewaskan lanun-lanun yang berada di atas bot itu. Dan hasil tenangan yang betul, mereka dapat melihat satu demi satu musuh rebah dalam bot selepas terkena tembakan walaupun tidak pasti peluru siapa yang mengenai lanun-lanun tersebut.

Menakutkan Musuh

Ketika pertempuran masuk minit keempat, Kamaruddin dapat melihat dua buah bot polis marin berkejar ke tempat mereka bertempur untuk membantu selepas terdengar bunyi tembakan.

Keadaan itu sedikit sebanyak menakutkan lagi musuh, yang kini perlu bertempur dengan tentera dan polis serentak.

Selepas enam minit bertempur, daya tembakan musuh telah dapat diatasi sepenuhnya selepas beberapa daripada mereka mengalami kecederaan.

Bimbang mereka akan ditangkap, lanun-lanun tersebut kemudiannya membuat keputusan melarikan diri ke perairan antarabangsa. Sebelum musuh sempat bergerak lebih jauh, Kamaruddin terdengar Suhaidi memberi arahan kepada Koperal Razak Ahmad agar menembak menggunakan senjata pelancar grened M-203.

Bagaimanapun, tembakan beliau gagal mengenai sasaran apabila bom tersebut jatuh ke dalam laut, hanya kira-kira sekaki dari dinding bot itu.

Biarpun begitu, tembakan tersebut berjaya menakutkan musuh yang kemudiannya dilihat bergerak lebih pantas untuk meninggalkan perairan Pulau Jambongan yang diduduki kira-kira 100 orang penduduk.

Setelah hampa untuk melihat bot musuh musnah, kehampaan kedua menyusul apabila mereka tidak berupaya untuk mengejar bot lanun tersebut.

Ini kerana perahu tempur yang mereka naiki agak berat dan tidak selaju bot lanun.

Lantaran itu, Suhaidi selaku ketua telah meminta dua bot marin yang baru tiba untuk membantu mengejar lanun-lanun berkenaan yang melarikan diri dengan menaiki sebuah bot setelah meninggalkan sebuah lagi bot yang mereka curi.

Sementara menantikan hasil kejar-mengejar tersebut selepas bot lanun dan polis hilang dari pandangan, mereka menghampiri bot atau perahu kayu jenis Tampel yang ditinggalkan oleh lanun.

Di atas bot itu, mereka menemui empat buah enjin bot yang dipercayai dirompak daripada penduduk di samping beberapa peralatan lain. Bot itu kemudiannya ditarik ke pantai.

Tidak lama selepas kembali ke pangkalan pada hari itu, Kamaruddin mendapat tahu daripada pegawai atasannya bahawa kumpulan lanun yang bertempur dengan mereka telah berjaya melarikan diri ke sebuah negara jiran.

Keadaan itu sedikit sebanyak mengecewakan beliau dan yang lain-lain.

Bagaimanapun, enam hari kemudian, mereka mendapat perkhabaran gembira apabila pegawai atasan 21 RAMD berjaya mendapatkan maklumat lengkap hasil daripada pertempuran itu. Turut menyalurkan maklumat ialah polis Sandakan. Dari maklumat itu, Kamaruddin dimaklumkan bahawa, hasil pertempuran itu menyaksikan seramai tiga orang lanun telah terbunuh termasuk ketuanya yang terkena tembakan di perut.

Walaupun, tidak tahu peluru siapa yang mengenai ketiga-tiga musuh itu, namun Kamaruddin dan yang lain-lain tetap gembira kerana kejadian yang menentukan hidup atau matinya pada hari itu berjaya membuahkan hasil yang membanggakan bukan sahaja kepada Tentera Darat dan Angkatan Tentera Malaysia tetapi juga rakyat negara ini.

Selain itu, mereka turut diberitahu bahawa tiga lagi lanun telah mengalami kecederaan parah manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, nasib seorang lagi lanun yang dikatakan terjatuh ke dalam laut tidak diketahui kerana mayat atau jasadnya tidak pernah ditemui selepas itu.

Ekoran kejayaan itu, maka Kamaruddin yang kini berusia 34 tahun dan berpangkat Lans Koperal bersama Razak, Prebet Azim Rafi, Prebet Norlijan Pungut dan Prebet Kamaruddin Kamis telah dianugerahkan pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) manakala Suhaidi dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB). – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.