“Kalau Nak Habiskan Kami, Cuba 110%” – TMJ Bidas ‘Kadir’

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mencabar mereka yang didakwa mahu “finish” (selesaikan) kerabat diraja itu supaya “go all out” (melakukannya sepenuh daya).

Dalam satu catatan di Twitter, ditujukan kepada seorang “Kadir”, putera itu menyebut tentang satu mesyuarat di Menara Ilham, Kuala Lumpur di mana mesyuarat-mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan yang diketuai penasihat Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, Daim Zainuddin diadakan.

TMJ tidak menyatakan siapakah “Kadir”, tapi dipercayai secara tidak langsung A Kadir Jasin, penasihat khas perdana menteri mengenai media dan komunikasi. Kadir sebelum ini jurucakap kepada majlis itu.

FMT sedang mendapatkan komen Kadir.

Perkembangan ini timbul disebalik laporan mengenai sebuah plot tanah yang berkait dengan pembinaan Sistem Transit Rapid Johor-Singapura dipindahkan kepada Sultan Johor.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, tidak pernah dimaklumkan tentang apa-apa perubahan ke atas hak milik tanah seluas 4.5 hektar itu, yang merupakan 1 daripada 5 lot tanah yang terlibat dalam perjanjian tukar tanah antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim sedia menyerahkan tanah yang terlibat kepada kerajaan tanpa sebarang kos, dengan syarat projek RTS mestilah diteruskan dengan segera.

Projek laluan kereta api sepanjang 4km itu akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor. – FMT

Loading...