Kak Limah ‘Hantui’ Seminggu Di MAPS

UNIK… Kejayaan filem Hantu Kak Limah (HKL) meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM36.2 juta menjadi faktor utama dalam mengangkat naskhah itu ke pentas teater muzikal.

Penolong pengarah teater muzikal tersebut, Saifullah Khaisas bagaimanapun berkata jalan cerita antara kedua-dua naskhah adalah berbeza dan terpulang kepada para penonton untuk menilainya.

“Filem ada kelebihan tersendiri begitu juga teater. Cuma dalam teater muzikal ia memerlukan seseorang pelakon itu untuk berdialog, menyanyi dan menari secara langsung dihadapan penonton.

“Itu juga saya rasa antara cabaran utama yang terpaksa dipikul pelakon dalam menjayakan teater muzikal ini,” katanya kepada wartawan semasa Pratonton Teater Muzikal Kak Limah di Movie Animation Park Studio (MAPS), di Ipoh kelmarin.

Teater muzikal yang diarahkan oleh pengarah filem HKL, Mohammad Mohd Khalid atau lebih dikenali sebagai Mamat Khalid itu mula ditayangkan pada 24 Disember hingga 31 Disember ini.

Pementasan teater selama sejam itu turut dibarisi beberapa artis terkenal seperti Hazama Azmi, Aziz M.Osman, Zahid Tajuddin (Ropie Cecupak), Zulkifli Daud (Joey) dan Miera Leyana Kasmi.

Saifullah berkata, pihaknya berharap orang ramai terutama peminat filem HKL datang beramai-ramai menyaksikan pementasan teater muzikal berkenaan.

“Kalau nak tahu lebih lanjut berkenaan jalan cerita keseluruhan teater muzikal Hantu Kak Limah ini, datanglah ke MAPS dengan harga tiket sekitar RM90 seorang,” katanya.

Hazama berkata, teater muzikal yang dibintangi itu banyak menguji tahap keyakinan beliau selaku seorang pelakon.

Katanya, bagaimanapun beliau berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Mamat Khalid dalam menjayakan pementasan teater itu.

“Kalau ikutkan ini antara tugas paling saya gementar sebab kena buat ‘live’. Mungkin sebelum ini saya hanya naik pentas untuk menyanyi tetapi kali ini kena menari, menyanyi dan hafal skrip, itu antara cabaran utama yang saya hadapi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPS, Mohamed Shafeii Abdul Gaffoor berkata, pihaknya berharap teater muzikal itu akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai sepanjang lapan hari ia ditayangkan.

Beliau berkata, peluang seumpama itu tidak seharusnya dilepaskan oleh orang ramai terutama penduduk warga Ipoh yang meminati pementasan teater muzikal.

“Selalunya kalau nak tengok teater kita kena ke Istana Budaya. Tapi untuk lapan hari ini kami bawakan ia ke MAPS untuk tatapan para penonton. Jadi, kami fikir peluang seumpama ini tidak harus dilepaskan terutama oleh warga Ipoh yang meminati teater,” katanya. – BERNAMA

Loading...