Kajian Semula Kasut Hitam, KPM Dapatkan Pandangan Sekolah

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan membuat kajian semula pelaksanaan peraturan pemakaian kasut dan stokin berwarna hitam di semua sekolah.

Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd Jamil Mohamed, dipetik menerusi satu surat pekeliling dikeluarkan kementeriannya berkata, kajian itu perlu diselesaikan sebelum atau pada Rabu depan.

Kajian dibuat bagi melihat keberkesanan pelaksanaan peraturan itu yang mula diperkenal tahun lalu, dengan mengambil kira dapatan daripada pihak sekolah.

“Kementerian berpandangan terdapat keperluan untuk melaksanakan kajian pelaksanaan pemakaian kasut hitam oleh murid berdasarkan dapatan yang diperoleh oleh pihak sekolah.

“Sehubungan itu, kementerian memohon kerjasama pihak sekolah membantu kajian ini dengan melengkapkan maklum balas bagi soalan kajian yang boleh diakses melalui pautan http://gg.gg/kasuthitam2020,” katanya.

Surat pekeliling pemberitahuan itu bertarikh semalam diajukan kepada semua Pengarah Pendidikan Negeri, yang dikongsi menerusi Facebook Friends of Maszlee Malik.

Sementara itu, menerusi pautan dikongsikan, kementerian itu memaklumkan prihatin berkaitan isu warna kasut sekolah dalam kalangan murid.

Dapatan libat urus menunjukkan bahawa majoriti responden termasuk ibu bapa bersetuju dengan pemakaian kasut berwarna hitam berbanding kasut berwarna putih oleh murid sekolah.

Kementerian itu sebelum ini memperkenalkan pelaksanaan peraturan berkenaan yang dikuatkuasakan secara beransur-ansur bermula sesi persekolahan tahun lalu hingga 2021.

Berdasarkan pautan yang dikongsikan menerusi surat pekeliling itu, pihak sekolah perlu melengkapkan beberapa maklumat termasuk butiran sekolah dan pelajar.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pada 29 Julai 2018, dilaporkan berkata murid sekolah rendah dan menengah akan memakai kasut hitam mulai 2019 susulan keluhan daripada ibu bapa yang mengadu mengenai kebersihan kasut putih dipakai anak mereka. – BH Online

Loading...