Kajian Rawatan COVID-19 Guna Remdesivir Gagal

NEW YORK – Kajian rawatan pesakit COVID-19 menggunakan Remdesivir telah gagal dalam ujian klinikal rawak yang pertama, menurut rangka keputusan disiarkan secara tidak sengaja, semalam.

Ia sekali gus menjejaskan harapan terhadap ubat yang diberikan perhatian teliti dalam usaha menghasilkan penawar penyakit itu.

Satu rangka rumusan dipaparkan untuk tempoh singkat dalam laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kali pertama dilaporkan oleh Financial Times dan Stat yang menyiarkan tangkap layar berhubung perkara itu.

Namun syarikat berkait ubat itu, Gilead Sciences, mempertikaikan cara penemuan terbabit digambarkan dalam paparan yang telah dipadamkan itu, dengan menyatakan bahawa data berkenaan menunjukkan satu ‘potensi faedah’.

Menurut rumusan itu, kajian oleh China membabitkan 237 pesakit dengan 158 daripada mereka menggunakan ubat berkenaan dan baki 79 dalam sebuah kumpulan kawalan.

Anda peniaga? Mencari platform pengiklanan Online? Mula dengan kami ..Website Mynewshub, FB (2.96 juta followers), Instagram dan Twitter. Hubungi kami http://www.wasap.my/60176070516

Penggunaan Remdesivir dihentikan awal terhadap 18 pesakit atas sebab kesan sampingan.

Penulis berkenaan dilaporkan berkata, Remdesivir ‘tidak berkait dengan perbezaan dalam masa terhadap kemajuan klinikal’ berbanding kawalan terbabit.

Selepas sebulan, 13.9 peratus daripada pesakit menggunakan Remdesivir telah meninggal dunia, berbanding 12.8 peratus mereka yang berada dalam kumpulan kawalan. Perbezaan itu tidak signifikan secara statistik.

WHO bagaimanapun memaklumkan kepada Financial Times bahawa rangka itu masih dalam kajian teliti dan tersilap disiarkan awal.

Jurucakap Gilead berkata kepada AFP: “Kami percaya paparan itu merangkumi gambaran tidak sesuai mengenai kajian berkenaan”, dan memaklumkan bahawa ia dihentikan awal kerana penyertaan rendah, justeru tidak bermakna secara statistik.

“Sehubungan itu, hasil kajian terbabit adalah tidak konklusif walaupun trend data menunjukkan potensi faedah Remdesivir, terutama dalam kalangan pesakit yang dirawat dari peringkat awal penyakit berkenaan,” kata jurucakap itu.

Kajian terbabit bagaimanapun tidak mewakili keputusan muktamad berhubung perkara itu. Ada beberapa kajian berskala besar dalam peringkat lanjutan yang bakal memberikan gambaran lebih jelas, tidak lama lagi.

Remdesivir yang diberikan secara intravena, adalah salah satu ubat pertama disarankan untuk merawat COVID-19, sekali gus mencetuskan harapan terhadap keberkesanannya.

Minggu lalu, Stat melaporkan, ia menunjukkan keberkesanan signifikan di sebuah hospital di Chicago di mana pesakit yang sedang dirawat adalah antara terbabit dalam kajian utama.

Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) turut melaporkan, ia terbukti berkesan dalam satu kajian kecil membabitkan monyet.

Remdesivir yang sebelum ini gagal dalam kajian merawat Ebola, tergolong dalam kelas ubat bertindak secara terus ke atas virus terbabit. – Agensi