Kajian Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Dibentang Akhir Tahun

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menyediakan kertas kerja berhubung kajian kebolehlaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, Jemaah Menteri kemudian akan membuat keputusan sama ada pilihan raya kerajaan tempatan dilaksanakan atau tidak di negara ini.

“Sehubungan itu, pilihan raya kerajaan tempatan tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat sehingga ada keputusan Jemaah Menteri mengenainya,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu perkembangan kajian yang dibuat berkenaan pelaksanaan pilihan raya peringkat kerajaan tempatan dan adakah ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini KPKT sedang giat menjalankan kajian berhubung perkara itu termasuk menilai contoh pelaksanaan di negara luar seperti Australia, India dan Amerika Syarikat.

“Selain itu, KPKT mengadakan libat urus bersama beberapa pihak termasuk wakil kerajaan, setiausaha Kerajaan Negeri, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pejabat Peguam Negara,” katanya.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata sehingga kini, KPKT telah mengadakan tiga siri bengkel kajian kebolehlaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan sepanjang tempoh 2018 hingga 2019.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pilihan raya kerajaan tempatan memerlukan beberapa pindaan akta dan perundangan termasuk pindaan Seksyen 10 dan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), pindaan akta dan peraturan yang berkaitan di bawah bidang kuasa SPR dan mewujudkan peraturan-peraturan pilihan raya kerajaan tempatan, sebelum ia dapat dilaksanakan.