Kajian Impak DLP Diketahui Januari 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan sedang menjalankan kajian impak ‘Dual Language Programme’ (DLP) yang lebih komprehensif bagi melihat keberkesanan program itu dan keputusannya dijangka diketahui pada Januari 2019.

Timbalan Menteri berkenaan Teo Nie Ching berkata kajian itu dibuat selepas kementerian mengadakan dua fasa pemantauan pencapaian murid dan pelajar pada 2016 dan 2017.

“Fasa pertama melibatkan perbandingan antara pencapaian pelajar dalam peperiksaan mata pelajaran bahasa Inggeris pada akhir 2016 dan pencapaian mereka dalam peperiksaan mata pelajaran sama bagi pertengahan tahun 2017.

“Hasilnya 36.28 peratus murid sekolah rendah menunjukkan peningkatan dalam bahasa Inggeris manakala bagi sekolah menengah 46.44 peratus pelajar menunjukkan peningkatan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.​​​​​​​

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu impak program itu dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Mengulas lanjut, Teo berkata pemantauan fasa kedua melibatkan perbandingan antara pencapaian pelajar dalam bahasa Inggeris bagi peperiksaan pertengahan tahun 2017 dan peperiksaan akhir tahun 2017 mendapati 55.82 peratus murid sekolah rendah dan 57.23 peratus pelajar sekolah menengah menunjukkan peningkatan. ​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​

Katanya, kementerian berpendirian bahawa DLP merupakan satu pilihan yang membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris berdasarkan dapatan awal kajian menunjukkan keputusan peperiksaan akhir tahun bagi mata pelajaran bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Matematik dan Sains bagi mereka yang mengikuti DLP menunjukkan peningkatan ketara.​​​​​​​

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada kesediaan sekolah dan ibu bapa untuk memilih program itu berdasarkan kemampuan dan pencapaian murid.

Sehingga kini 22,960 pelajar sekolah rendah dan menengah terlibat dalam program itu. – BERNAMA​​​​​​​

Loading...