Kajian Ilham Ramal Warisan Menang Bermotif Politik – Najib

BEAUFORT – Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak yakin dengan hasil kajian Ilham Centre meramalkan Warisan akan memenangi Pilihan Raya Kecil Kimanis esok, menyifatkan ia bermotifkan politik dan tidak ikhlas.

“Ini propaganda mereka. Di PRK Tanjung Piai, IDE (Institut Darul Ehsan) tampil dengan analisis kata Pakatan Harapan akan menang di sana.

“Tetapi, sebaliknya kami menang dengan majoriti besar lebih 15,000 undi, jadi kami tak fikir banyak tentang kajian begini kerana ia dibuat berdasarkan niat politik.

“Ia bukan berdasarkan keikhlasan analisis sebenar,” katanya ketika menghadiri sebuah majlis di pusat daerah mengundi Dindong di Membakut hari ini.

Satu kajian rambang oleh badan pemikir Ilham Centre menunjukkan faktor parti tempatan dan sokongan tokoh berpengaruh akan memberi kelebihan kepada Warisan untuk memenangi PRK Kimanis, walaupun timbul isu kontroversi Pas Sementara Sabah (PSS).

Pada PRK Tanjung Piai, badan pemikir milik kerajaan Selangor, IDE menerusi kajiannya berkata, calon PH, Karmaine Sardini mendahului dengan 53% sokongan, manakala Wee Jeck Seng daripada BN hanya mendapat 44% sokongan.

Bagaimanapun, keputusan rasmi menunjukkan Wee mendapat 25,466 undi – lebih separuh daripada 10,380 undi yang diperolehi Karmaine daripada PPBM.

Sementara itu, Najib terus mengkritik PSS dengan berkata, ia mungkin menyebabkan Projek IC 3.0 yang merujuk projek kontroversi didakwa membabitkan pemberian kerakyatan secara sistematik kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah pada 1980-an, dimulakan.

“Jika kami tolak PH dan Warisan, itu bermakna kami juga menolak PSS.” – FMT

Loading...