Kajian Dapati 4.4% Guru Alami Stres

KUALA LUMPUR – Sebuah kajian yang dijalankan Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan mendapati 4.4 peratus daripada 48,258 responden ​​​atau kira-kira 2,000 guru mengalami stres pada tahap sederhana tinggi, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek berkata antara faktor keadaan tersebut adalah situasi semasa keluarga, kewangan, pentadbiran atau bebanan tugas, kurang kemahiran dalam menjalankan tugas serta tidak dilatih menangani isu stres.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah ini, kementerian menyediakan kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia yang bertugas di Pejabat Pentadbiran Daerah bagi membantu guru-guru mendapatkan khidmat kaunseling.

Bilangan kaunselor yang ditempatkan, bagaimanapun belum mencukupi dan diharap dapat ditingkatkan lagi.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Zahari Sarip yang ingin tahu statistik kajian dan kebenaran bahawa guru hari ini mengalami stres dan kemurungan serta langkah penyelesaian yang dilaksana kementerian.

Maszlee berkata kementeriannya akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah bilangan kaunselor bagi menangani isu tersebut.

Katanya pelbagai aktiviti untuk tujuan pembangunan, pencegahan dan intervensi telah dijalankan bagi menangani masalah stres dan kemurungan dalam kalangan guru antaranya program pengurusan konflik, pengurusan emosi dan program rakan perkhidmatan awam atau Akrab.

“Guru-guru yang disahkan menghadapi masalah mental atau kemurungan oleh pakar perubatan akan ditempatkan dalam jawatan kumpulan bagi memudahkan mereka menerima rawatan sewajarnya,” katanya. – BERNAMA

Loading...