Kaji GST: “Kehendak Rakyat Kata Dia” – Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyindir kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Facebooknya susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir sebelum itu berkata, kerajaan sedia mengkaji semula pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika itu kehendak rakyat.

Melalui hantaran dimuat naik sejam lalu, Najib secara ringkas memberi komen “ABCD… GST. ‘Kehendak rakyat’ kata dia.”

Hantaran itu menerima reaksi lebih 10,000 pengguna sosial dan mendapat komen sebanyak 2,225 komen serta dikongsi 1,391 pengikut laman sosial Najib.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, keputusan untuk pelaksanaan sistem percukaian itu tidak akan dimasukkan pada Bajet 2020 yang akan dibentang 11 Oktober ini.

GST pada kadar enam peratus pernah dilaksanakan sejak 1 April 2015 namun dimansuhkan pada 1 September 2018 dan digantikan dengan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST). – Sinar Harian

Loading...