Kaedah Baharu Bayaran Parkir MPS 2 Januari 2019

SEREMBAN – Kutipan bayaran tempat letak kereta dan penguatkuasaannya di Bandar Seremban akan dimulakan pada 2 Januari 2019 selepas penangguhan kutipan bayaran sejak September 2017, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Datuk Zazali Salehudin.

Beliau berkata MPS telah melantik Syarikat Oval Success Sdn Bhd secara tender terbuka untuk mengendalikan kutipan bayaran menggunakan aplikasi telefon pintar (JomParking) dan sistem kupon untuk urusan pembayaran ​​​​​serta penguatkuasaan tempat letak kereta.

“Ia meliputi kawasan di Pusat Bandar Seremban, Seremban 2, Oakland, Jalan Rasah, Jalan Tuanku Antah, Jalan Zaaba, Jalan Gan Tam, Jalan Wong Yik Tong, Betaria, Taman AST dan Jalan Zamrud. Lokasi di Oakland dan Seremban 2 (berhampiran AEON) adalah lokasi baharu kutipan, manakala lokasi lain pernah dibuat kutipan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya aplikasi telefon pintar (JomParking) boleh dimuat turun di Play Store, App Store dan Google Store, manakala ejen kupon akan dilantik oleh pihak syarikat yang setiap ejen yang dilantik diwajibkan mempamerkan notis lantikan Ejen Bayaran Parkir dan kupon juga akan di jual di pondok-pondok letak kereta sedia ada di lokasi tersebut.

“Bagi lokasi di Kemayan Square, Senawang dan Millenia Square, ia masih menggunakan sistem lama iaitu meter letak kereta, kad pintar dan syiling yang melibatkan 1,400 petak. Kontraktor yang melaksanakan kutipan bayaran di lokasi tersebut adalah Syarikat Datmel Technology Sdn Bhd yang telah dilantik lebih awal iaitu pada tahun 2011,” katanya. – BERNAMA

Loading...