Kadir ‘Ajar’ Otai Reformasi Sejarah Peralihan Kuasa

PETALING JAYA – Wartawan veteran A Kadir Jasin hari ini mengingatkan kumpulan pro-Anwar yang mendesak supaya presiden PKR itu dilantik sebagai perdana menteri Mei ini tentang proses peralihan kuasa yang pernah berlaku di negara ini.

Mengakui bahawa perubahan perdana menteri pada pertengahan penggal pemerintahan bukan perkara baru, Kadir berkata, perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman dipaksa menyerahkan kepimpinan kerajaan kepada Abdul Razak Hussein setahun selepas pilihan raya umum 1969.

Sementara itu, perdana menteri Malaysia ke-3, Hussein Onn menyerahkan kuasa kepada Dr. Mahathir Mohamad “kira-kira pada tahun ke-3 penggal Parlimen”.

Mahathir kemudiannya menyerahkan jawatan kepada Abdullah Ahmad Badawi 4 tahun selepas pilihan raya umum 1999, sementara Abdullah menyerahkan kepimpinan kerajaan kepada Najib Razak setahun selepas memenangi pilihan raya umum ke-12.

Otai Reformasi, yang menyokong Anwar sejak pemecatan beliau daripada kerajaan pada 1998 dilihat kerap mendesak supaya ahli Parlimen Port Dickson itu dilantik sebagai perdana menteri pada Mei tahun ini, iaitu 2 tahun selepas Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan.

“Sejarah biasanya adalah guru yang baik,” kata Kadir, yang juga merupakan penasihat khas media dan komunikasi Mahathir, di blog beliau.

Kadir juga berkata, beliau tidak percaya “Otai Reformasi berada di medan sewaktu drama Mahathir-Anwar bermula”.

Katanya, bagi kebanyakan mereka, kisah Anwar hanya bermula selepas beliau dipecat.

“Tetapi sejarahnya lebih awal daripada itu dan lebih rumit daripada pekikan ‘Reformasi, Reformasi dan demonstrasi besar di jalan raya.”

Beliau mendakwa, Mahathir dan Anwar saling mengenali satu sama lain lebih baik daripada kebanyakan “otai” kerana Mahathir lebih banyak berperanan berbanding orang lain dalam menjadikan Anwar seorang ahli politik seperti hari ini.

Menurut perjanjian dalam PH yang dipersetujui menjelang pilihan raya umum 9 Mei lepas, Mahathir akan menyerahkan kuasa kerajaan kepada Anwar pada satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Baru-baru ini Mahathir membayangkan peralihan kuasa itu mungkin berlaku selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur November depan. – FMT

Loading...