Kadar Tarif Air Di Kedah Naik Tahun Hadapan

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan kadar tarif air di negeri ini pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air serta Tenaga negeri, Zamri Yusuf berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini mencadangkan supaya kenaikan itu dilakukan sekitar 20 peratus.

“Kerajaan negeri melihat kenaikan sebanyak 20 peratus tidak sesuai tetapi pada masa sama kita tidak menolak terus cadangan kenaikan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Kata beliau, kadar tarif air pada masa ini dikekalkan dan pihaknya sedang menjalankan usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan air di negeri ini.

“Kita akan beri komitmen sepenuhnya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan air kepada semua pengguna terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menaikkan tarif air,” ujarnya.

Tambahnya, kadar baharu tarif air masih belum diputuskan, namun memberi jaminan bahawa kadar yang bakal dikenakan adalah rendah dan tidak membebankan pengguna.

Loading...