Kadar Sewa Pejabat Hong Kong Kekal Termahal Dunia

HONG KONG – Hong Kong kekal memiliki pasaran pejabat termahal pada 2019 walaupun kadar sewa dijangka turun, demikian menurut Knight Frank LLP yang mengeluarkan laporan unjuran pasaran pejabat global terkini, hari ini.

Ketua Penyelidikan dan Perundingannya, David Ji, berkata hubungan perdagangan yang tidak menentu antara China dan Amerika Syarikat (AS) serta cabaran yang dihadapi China terhadap pasarannya menyebabkan permintaan untuk pejabat perdana daripada firma negara itu berkurangan.

“Walaupun penyewaan di kawasan pusat Hong Kong dijangka menyusut sehingga tujuh peratus tahun ini, hubungan perniagaan rapat antara bandar itu dengan China akan mengelakkan daripada penyusutan lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Melbourne dan Sydney bakal menyaksikan pertumbuhan kadar sewa terbesar tahun ini dengan kos dijangka meningkat 10.1 peratus dan 8.6 peratus.

Pertumbuhan pekerjaan dan penyiapan pembangunan yang lebih sedikit pada tahun-tahun sebelum ini menyebabkan bekalan yang lebih ketat di kedua-dua bandar berkenaan.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur, Bengaluru, Jakarta, dan Warsaw adalah antara lokasi yang bakal memiliki kadar sewa pejabat terendah tahun ini. – Bloomberg

Loading...