Kabinet Sudah Perbaharui Lesen Lynas

KUALA LUMPUR – Akhirnya ‘teka teki’ keputusan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama ada lesen kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) akan diperbaharui atau sebaliknya, terjawab sebentar tadi.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dalam kenyataan sebentar tadi memaklumkan kerajaan telah bersetuju memperbaharui lesen operasi Lynas selama enam bulan bermula September depan dengan beberapa syarat, termasuk mengarahkan kilang itu mengekang pengeluaran sisa radioaktif dalam masa empat tahun.

Kata LPTA, antara syarat lain yang ditetapkan ialah Lynas perlu mengemukakan rancangan pembinaan kemudahan operasi memproses sisa radioaktif dipanggil ‘cracking and leaching‘, di luar negara agar proses itu yang kini dilakukan di Gebeng dapat dikeluarkan dari Malaysia.

“Kemudahan ‘cracking and leaching’ di luar negara hendaklah dibina dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun dari tarikh sah lesen.

“Selepas kemudahan ‘cracking and leaching’ mula beroperasi di luar negara, pemegang lesen tidak lagi dibenarkan menghasilkan residu radioaktif yang melebihi 1 Becquerel per gram di lojinya di Gebeng, Kuantan.

“Lynas juga di syaratkan untuk menamatkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usahanya untuk mengkomersialkan residu Water Leach Purification (WLP) kepada baja pertanian, Condisoil.

“Sebanyak 0.5 peratus daripada jualan kasar setiap tahun yang ditetapkan untuk usaha R&D sebelum ini hendaklah dikemukakan kepada kerajaan Malaysia sebagai cagaran tambahan sehinggalah kemudahan ‘cracking dan leaching’ di luar negara mula beroperasi,” katanya.

Selain itu, Lynas juga di minta mengenal pasti tapak spesifik untuk kemudahan pelupusan kekal (PDF), selain mengemukakan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri untuk penggunaan tapak itu jika tidak mendapat persetujuan mana-mana negara lain yang mahu menerima residu WLP yang dihasilkan.

“Syarikat Lynas juga hendaklah mengemukakan pelan perancangan pembinaan PDF yang lengkap serta pelan pembiayaan yang mencukupi bagi menampung keseluruhan pembinaan dan operasinya.

“Pembinaan PDF perlu disegerakan untuk meminimumkan risiko timbunan residu radioaktif WLP yang kini terkumpul melebihi 580,000 tan di kemudahan penstoran sementara (residue storage facility, RSF) yang terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir besar,” jelas LPTA.

LPTA juga akan memantau rapi serta memastikan pembinaan dan pengendalian PDF mengikut piawaian antarabangsa.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), barisan pimpinan kerajaan PH telah membantah operasi Lynas dan berikrar akan menghentikan operasinya jika berjaya membentuk kerajaan. – MalaysiaGazette