K. Thanabalasingam: Jadi PTL Pada Usia 31 Tahun

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

MEMANG sukar untuk dipercayai tetapi itulah sejarah yang telah dilakarkan oleh Laksamana Muda (B) Datuk K. Thanabalasingam apabila dilantik sebagai Panglima Tentera Laut (PTL) pada usia 31 tahun.

Bukan itu sahaja. Sepanjang menjawat jawatan itu dengan pangkat Laksamana Pertama hingga Laksamana Muda, banyak peristiwa menarik yang berlaku dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia sekali gus turut meninggalkan berbagai kenangan manis kepada anak kelahiran Kampung Attap, Kuala Lumpur ini.

Ketika diminta menceritakan kisah-kisah yang membawa kepada pelantikannya sebagai rakyat Malaysia pertama yang diamanahkan memimpin TLDM, Thanabalasingam berkata ia berkait rapat dengan peristiwa konfrontasi Malaysia dan Indonesia yang berlaku pada awal tahun 60-an.

Segala-galanya bermula apabila pucuk pimpinan negara merasakan perlunya dilantik seorang anak tempatan mengisi jawatan PTL dan Panglima Tentera Udara bagi menggantikan pegawai tentera asing.

Langkah itu juga bagi membolehkan rundingan yang lebih berkesan dapat diadakan untuk mengukuhkan semula hubungan Malaysia dan Indonesia selepas berakhirnya konfrontasi.

Ini kerana, pucuk pimpinan negara pada waktu itu merasakan rundingan akan sukar dijalankan terutama apabila melibatkan hubungan ketenteraan kerana Indonesia dikatakan kurang selesa untuk berbincang dengan Commodore A.N.Dollard, pegawai tentera Australia yang menjadi PTL waktu itu.

Memandangkan jumlah pegawai tempatan dalam TLDM agak kecil dan mereka yang layak untuk dilantik ke pangkat Commodore atau Laksamana Pertama tidak ada, maka timbul cadangan untuk melantik seorang pegawai kanan Tentera Darat mengisi jawatan tersebut.

Bagaimanapun, pegawai yang ditawarkan itu menolak kerana sedar kesukaran yang akan dihadapi memandangkan cara memimpin dan budaya Tentera Darat dengan TLDM amat jauh berbeza.

Disebabkan penolakan itu, kerajaan terpaksa mencari pengganti di kalangan pegawai TLDM yang masih muda.

Selepas berbagai tapisan dilakukan, akhirnya Thanabalasingam yang bertugas sebagai Pegawai Wakil Tentera Laut di Tawau dicadang memegang jawatan itu. Tetapi, masalah timbul kerana beliau masih berpangkat Leftenan Komander sedangkan untuk dilantik menjadi PTL beliau mesti berpangkat sekurang-kurangnya Kapten.

Kenaikan Pangkat

Untuk mengatasinya, TLDM telah menaikkan pangkat beliau ke Komander pada 1 Mac 1967, Kapten (1 September 1967) dan pemangku Laksamana Pertama pada 1 Disember 1967 iaitu tiga kenaikan pangkat dalam tempoh setahun.

Pada tahun 1972, beliau dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Muda pula sesuai dengan persetujuan kerajaan untuk menaiktaraf kedudukan panglima TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketika memegang jawatan tersebut, kekuatan TLDM masih lagi kecil dengan hanya memiliki 12 buah kapal ronda bersaiz kecil, empat kapal penagkis periuk api dan lima kapal lain dengan keanggotaan kira-kira 1,000 orang.

“Ketika itu, TLDM juga tidak memiliki pangkalan tetap sendiri selain menumpang di Woodlands, Singapura.

“Jadi buat permulaan ke arah memiliki pangkalan sendiri di Malaysia, saya tubuhkan pangkalan pasukan sukarela di Johor yang dikenali sebagai KD Sri Madini,” katanya.

Selain itu, sebuah kapal frigat dibeli oleh kerajaan pada masa beliau dan diberi nama KD Rahmat serta pembelian kapal KD Hang Tuah.

Sewaktu melakukan lawatan ke Amerika Syarikat selama 10 hari sebagai tetamu Naib Presiden Amerika Syarikat, Hubert Humphrey pada awal tahun 1968 pula, antara lain beliau telah dibawa melawat ke Pangkalan Tentera Laut Sandiago.

“Di situ saya nampak kapal pengangkut (LST) terpakai yang pernah ditugaskan di Vietnam.

“Saya tanya, pegawai di sana adakah kapal ini boleh dijual kepada TLDM dan mereka kata boleh dan dari situ saya memohon kepada kerajaan agar membelinya dan berhasil.

“Ia dijual dengan harga yang amat murah iaitu token bernilai beberapa ratus ribu ringgit sahaja,” katanya yang pernah mengetuai TLDM di bawah tiga Perdana Menteri.

Menurut Thanabalasingam, kapal jenis LST itu amat penting kerana TLDM tidak memiliki kapal sokongan seperti itu yang boleh membantu Tentera Darat melaksanakan operasi di Sarawak dan Semenanjung dalam menentang ancaman komunis.

Mengimbau pembabitannya dalam TLDM, Thanabalasingam memberitahu, ia bermula pada tahun 1955 apabila menyertai latihan pegawai kadet di Singapura.

Dalam kumpulan pengambilan siri pertama itu terdiri daripada anak-anak tempatan sepenuhnya, selain beliau yang diberi nombor tentera 40079 turut serta ialah dua pemuda India lain, tiga pemuda Cina, dua pemuda Melayu dan seorang Serani.

Di Singapura, beliau mengikuti latihan asas selama enam bulan. Pada akhir tahun 1955, beliau mengikuti latihan lanjutan di Kolej Tentera Laut Diraja British di Dartmouth selama 28 bulan.

Pada April 1958, barulah beliau ditauliahkan sebagai Sub-Leftenan atau Leftenan Muda. Selepas itu, bekas pelajar Victoria Institution ini ditugaskan dengan Tentera Laut Diraja British di Scotland dan ditempatkan di kapal frigat HMS Chichester hingga akhir 1958.

Apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, beliau bersama rakan-rakan yang lain telah ditawarkan untuk bertugas dengan TLDM.

“Kami bersetuju dan kemudiannya dipindahkan semula ke pangkalan di Woodlands yang diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan Malaysia pada 1 Julai 1958.

Saya bersara kerana satu ketika minat saya terhadap kerja menurun dan menjadi agak bosan kerana meneruskan rutin yang sama.

“Kerana itulah tarikh 1 Julai diisytiharkan sebagai Hari TLDM dan berterusan selama beberapa tahun sebelum berubah kepada 27 April seperti sekarang berdasarkan kepada tarikh penubuhan Cawangan Melayu pada 27 April 1934,” katanya.

Thanabalasingam bersara pada tahun 1976 pada usia 40 tahun.

“Ikutkan saya perlu bersara pada usia 55 tahun tetapi disebabkan saya telah memegang jawatan tersebut lebih sembilan tahun iaitu satu tempoh yang lama, maka akhirnya dibenarkan oleh kerajaan.

“Saya bersara kerana satu ketika minat saya terhadap kerja menurun dan menjadi agak bosan kerana meneruskan rutin yang sama,’’ ujar beliau yang kemudiannya menyertai sebuah syarikat swasta sebagai pengarah.

Sewaktu majlis perpisahan untuknya diadakan, Thanabalasingam antara lain bercakap dengan menegaskan penggantinya perlu meneruskan usaha untuk menubuhkan Cawangan Udara TLDM dan membeli kapal selam.

Menurutnya, TLDM mesti menubuhkan cawangan udara kerana sebelum ini banyak masalah timbul dalam operasi dan latihan ketenteraan kerana juruterbang TUDM tidak memahami berbagai istilah yang digunakan oleh TLDM.

Cadangan membeli kapal selam pula dibuatnya kerana mendapati Laut China Selatan yang berada sekitar negara ini merupakan kawasan operasi kapal selam di samping untuk memudahkan tugas mengawasi keselamatan Sabah, Sarawak dan utara Selat Melaka.

“Sekarang, cadangan dan impian saya telah menjadi kenyataan dan saya gembira dengan apa yang berlaku,’’ ujar lelaki berusia 68 tahun ini sambil tersenyum puas. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.