Jutawan Muslim Sumbang Semua Harta Meninggal

RAMAI yang tidak mengenali Ali Banat, seorang pemuda Islam yang berasal dari Sydney, Australia. Dia hidup dalam kemewahan, memakai pakaian berjenama dan memandu kereta mewah.

Tiga tahun lalu, Ali, yang merupakan seorang ahli perniagaan telah disahkan menghidap kanser dan diberikan masa selama tujuh bulan untuk hidup.

Namun Ali dipanjangkan usia oleh Allah sehingga tiga tahun selepas disahkan menghidap kanser.

Sejak itu dia menukar gaya hidup dan membelanjakan wangnya untuk tujuan kebajikan dan kemanusiaan.

Namun semalam, bintang YouTube popular, Adam Salleh telah mengumumkan berita kematian Ali menerusi akaun sosial Twitternya.

Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un! Ali Banat adalah inspirasi kepada saya dan untuk dunia ini! Beliau mempunyai kisah emosi untuk memberitahu dunia bagaimana beliau diberkati dengan kanser!! Beliau selalu senyum. Saya terkesan bagaimana beliau tewas dalam perjuangan dengan kanser, Tolong doakan beliau,’’ demikian tulis Adam.

Ali mula dikenali selepas videonya Gifted With Cancer atau `Diberkati Dengan Kanser’ menjadi tular.

Video itu memaparkan kehidupan Ali sebelum ini yang dilimpahi dengan kemewahan. Bilik tidurnya dipenuhi dengan kasut Louis Vuitton iaitu satu-satunya jenama yang dipakainya, gelang bernilai RM180,000 serta salah satu kereta yang dimilikinya termasuk Ferrari Spider yang berharga RM1.7 juta.

Bagaimanapun selepas Ali jatuh sakit, dia menyedari kemewahan itu tidak memberi makna kepadanya.

“Apabila anda jatuh sakit atau anda tidak mempunyai banyak masa untuk hidup, ini adalah perkara terakhir yang anda ingin kejar. Dan itulah bagaimana kita perlu menjalani kehidupan kita setiap hari,’’ katanya dalam video itu.

Ali kemudiannya menderma hartanya menerusi organisasi kebajikan iaitu Muslims Around the World (MATW) yang diasaskannya.

Dengan wang yang ada, dia membina 200 rumah untuk ibu tunggal, masjid, sekolah untuk 600 anak yatim, klinik dan perniagaan untuk penduduk setempat di Togo, Ghana dan Burkina Faso.

Selain itu, Ali juga melawat negara-negara di benua Afrika berkenaan dan bekerja keras untuk mengutip sumbangan. – MYNEWSHUB.CC